ANTARA peralatan digunakan Macau Scam untuk memperdaya mangsa membabitkan kerugian jutaan ringgit. FOTO hiasan.
ANTARA peralatan digunakan Macau Scam untuk memperdaya mangsa membabitkan kerugian jutaan ringgit. FOTO hiasan.
Rabi Atul Adawiyah Ismail


EMPAT taktik digunakan sindiket Macau Scam (Telecommunication Fraud) untuk memperdayakan mangsa membabitkan kerugian jutaan ringgit.

Ia membabitkan aduan daripada mangsa yang terpedaya dengan panggilan palsu mendakwa daripada institusi kewangan atau polis.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urus Setia KPN Datuk Asmawati Ahmad berkata, Macau Scam didalangi sindiket Taiwan serta China yang menggunakan talian antarabangsa dari Hong Kong juga tempatan.

“Empat taktik sering digunakan ialah cabutan bertuah, tipu culik dan minta wang tebusan, spoofing (pegawai polis/agensi kerajaan) serta spoofing (pegawai bank negara atau bank komersil).

“Spoofing ialah teknik pemanggil berkomunikasi menggunakan platform ‘Voice Over Internet Protocol’ (VoIP) bagi membolehkan pemanggil meletakkan sebarang nombor untuk memperdaya penerima bahawa pemanggil adalah daripada nombor yang tertera di skrin telefon bimbit.

“Spoofing digunakan pemanggil untuk menyamar sebagai pegawai polis atau pegawai agensi kerajaan,” katanya pada kenyataan, hari ini.

Melalui teknik ini, pengadu menerima panggilan telefon daripada individu mengaku sebagai pegawai mahkamah atau polis dan mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan haram.

Katanya, mangsa kemudian diminta memindahkan wang daripada akaunnya ke akaun tertentu, kononnya bagi mengelakkan akaun mangsa dibekukan oleh pihak berkuasa.

“Ada juga yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) atau bank komersil bagi penipuan membabitkan kad kredit.

“Mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku sebagai pegawai bank dengan dakwaan mangsa gagal melunaskan pembayaran kad kredit.

“Mangsa kemudian diarah untuk menghubungi seseorang, kononnya pegawai BNM, bagi mengelak nama disenarai hitam atau akaun bank dibekukan,” katanya.

Mangsa yang terpedaya akan membuat pemindahan wang ke nombor akaun tertentu melalui perbankan Internet dan mesin deposit tunai (CDM).

Katanya, taktik cabutan bertuah antara yang popular apabila mangsa menerima panggilan telefon kononnya memenangi cabutan bertuah berjumlah jutaan ringgit daripada syarikat di Hong Kong dan Macau.

“Pemanggil kemudian memberikan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya pengadu mahu menuntut hadiah berkenaan.

“Selepas bersetuju, pengadu dikehendaki membayar cukai dan insuran dengan memindahkan wang ke akaun tertentu bagi menuntut wang. Namun, selepas transaksi dibuat, pemanggil gagal dihubungi,” katanya.

Taktik terakhir yang kerap diguna ialah tipu culik dan minta wang tebusan.

Mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mendakwa anak atau saudaranya diculik.

“Mangsa diperdaya untuk memindahkan wang tebusan ke nombor akaun pihak ketiga yang diberi pemanggil,” katanya.

Orang ramai yang berdepan situasi ini diingatkan supaya tidak panik dan tidak mengikut arahan yang diberi sebaliknya menghubungi polis atau institusi kewangan berkaitan.

“Jangan dedahkan nombor akaun bank, nombor kad ATM atau kad kredit kepada individu tidak dikenali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 11:35 AM