KEADAAN di Sungai Skudai yang mengeluarkan tompokan buih putih yang berlaku sejak Sabtu lalu. FOTO Ihsan Adun Skudai
KEADAAN di Sungai Skudai yang mengeluarkan tompokan buih putih yang berlaku sejak Sabtu lalu. FOTO Ihsan Adun Skudai
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebuah kilang logam yang dipercayai menyebabkan pencemaran buih putih di Sungai Skudai Sabtu lalu, dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK), semalam.

Sumber Jabatan Alam Sekitar (Jas) Johor memaklumkan kilang berkenaan dikenakan tindakan selepas siasatan lanjut menemui efluen sama yang dilepaskan di Sungai Skudai ditemui di premis logam itu.

Kata sumber berkenaan, susulan aduan yang diterima berhubung pencemaran buih itu Jas Johor membuat siasatan terhadap beberapa kilang berhampiran Sungai Skudai sebelum menemukan efluen yang disyaki di premis berkenaan.

"Tindakan diambil mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan kilang itu terpaksa memberhentikan aktiviti pengilangan secara serta-merta serta perlu mengambil langkah penambahbaikan dengan kadar segera selain siasatan lanjut diselesaikan.

"Kilang yang sama juga dikenakan lapan kompaun bernilai RM16,000 atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005," katanya ketika dihubungi.

Ahad lalu, beberapa rakaman video Sungai Skudai yang dicemari dengan kepulan buih putih yang berlaku Sabtu lalu ditularkan pengguna akaun Facebook, An Niza.

Jas Johor dilaporkan sudah mengambil sampel air Sungai Skudai yang berbuih itu sejak Sabtu lalu, namun mendapati kualitinya berada pada tahap normal.

Timbalan Pengarah Jas Johor Mohd Rashdan Topa dilaporkan berkata, tahap alkali (ph) air sungai itu direkodkan pada bacaan 7 apabila sampelnya diuji.

Jas Johor yang melakukan tinjauan di Sungai Skudai pagi tadi dilaporkan tidak menolak kemungkinan kejadian yang berlaku di sungai itu berpunca daripada industri di sekitar kawasan sekitar.

Semalam pula, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven dilaporkan berkata, pencemaran Sungai Skudai akibat kewujudan tompokan buih putih sejak Sabtu lalu tidak menjejaskan Loji Rawatan Air Sultan Ismail, di sini, yang membekalkan air kepada hampir 200,000 pengguna.

Beliau dilaporkan berkata, hasil pemantauan dan siasatan dilakukan Jas Johor mendapati tiada lagi buih putih dikesan di lokasi aduan di Sungai Skudai berhampiran jambatan Taman Impian Emas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 1:50 PM