Sampel buangan sudah diambil sebagai bahan bukti dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM), untuk analisis komposisi buangan
Sampel buangan sudah diambil sebagai bahan bukti dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM), untuk analisis komposisi buangan
BERNAMA

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan 30 kompaun dengan nilai keseluruhan RM60,000, kepada pemilik premis di Kg Sungai Dua, Rawang, yang menyebabkan pencemaran bau hingga mengakibatkan gangguan air tidak berjadual, di beberapa kawasan di Lembah Klang pada Selasa.

JAS dalam kenyataan hari ini berkata, hasil operasi dijalankan semalam, mendapati minyak enjin terpakai dan pelarut di premis berkenaan tidak diuruskan dengan baik, serta tidak menyelenggara perangkap minyak sehingga menyebabkan longkang air hujan dicemari sisa minyak bercampur pelarut.

"Sampel buangan sudah diambil sebagai bahan bukti dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM), untuk analisis komposisi buangan," katanya.

JAS berkata premis itu melanggar Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Dalam pada itu, JAS berkata JAS Selangor kini menyediakan kertas siasatan bagi pendakwaan di bawah Seksyen 16(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, ke atas sebuah lagi premis yang beroperasi di kawasan Rawang Integrated Industrial Park.

JAS berkata JAS Selangor akan meneruskan tindakan penguatkuasaan ke atas lain-lain punca berpotensi mencemar sungai, bagi mencegah berulangnya henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor.

"Pada masa kini, tumpuan diberi kepada premis-premis yang terletak dalam lingkungan 1 kilometer radius daripada lokasi pencemaran bau dikesan, yang membabitkan sebanyak 21 premis," katanya.

JAS juga menegaskan bahawa penguatkuasaan ke atas punca-punca pencemaran di seluruh negara berjalan seperti biasa, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

Tangkapan ke atas pesalah alam sekitar di bawah peruntukan Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, juga boleh diambil tanpa waran bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar dan rakyat, tetap terpelihara daripada ancaman pencemaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 7:41 PM