KEADAAN di Sungai Skudai yang mengeluarkan puluhan tompokan buih putih yang berlaku sejak Sabtu lalu. FOTO ihsan ADUN SKUDAI
KEADAAN di Sungai Skudai yang mengeluarkan puluhan tompokan buih putih yang berlaku sejak Sabtu lalu. FOTO ihsan ADUN SKUDAI
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kemunculan tompokan buih putih di Sungai Skudai sejak Sabtu lalu, menimbulkan kebimbangan kepada penduduk Kampung Laut, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, dia menerima aduan penduduk pada pagi Sabtu lalu, selepas beberapa penduduk kampung yang tinggal berhampiran sungai berkenaan menghubunginya.

Katanya, beliau menyalurkan aduan berkenaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sebaik menerima aduan berkenaan.

"Saya panjangkan aduan penduduk kepada JAS Johor serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sebelum JAS terus lakukan pemantauan dan pemeriksaan di Sungai Skudai.

"Saya turut meninjau di sepanjang Sungai Skudai semalam, bersama beberapa penduduk Kampung Laut,namun tompokan buih putih sudah berkurangan dan tidak sebanyak pada Sabtu lalu.

"Penduduk Kampung Laut ada melahirkan perasan bimbang jika tompokan buih itu ada kandungan kimia berbahaya yang boleh membahayakan kesihatan mereka apatah lagi kebanyakan penduduk masih menetap berhampiran sungai itu.

"Hari ini JAS Johor ada membuat tinjauan bersama EXCO namun mereka memaklumkan masih belum dapat mengenal pasti punca tompokan buih itu namun sedang membuat pemerhatian ke atas kilang yang berhampiran sungai itu," katanya.

Semalam, beberapa rakaman video Sungai Skudai berbuih ditularkan oleh seorang pengguna akaun Facebook dengan nama An Niza.

JAS Johor dilaporkan telah mengambil sampel air Sungai Skudai yang berbuih itu sejak Sabtu lalu, namun mendapati kualitinya berada pada tahap normal.

Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd Rashdan Topa, dilaporkan berkata, tahap alkali (ph) air sungai itu direkodkan pada bacaan 7 apabila sampelnya diuji.

JAS Johor yang melakukan tinjauan di Sungai Skudai pagi tadi dilaporkan tidak menolak kemungkinan kejadian yang berlaku di sungai itu berpunca daripada industri di sekitar kawasan sekitar.

Tinjauan berkenaan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 4:20 PM