RAVEN Kumar (kanan) meninjau Sungai Skudai yang berlaku kejadian ketulan buih putih. FOTO Ihsan Pejabat Exco.
RAVEN Kumar (kanan) meninjau Sungai Skudai yang berlaku kejadian ketulan buih putih. FOTO Ihsan Pejabat Exco.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pencemaran Sungai Skudai akibat kewujudan tompokan buih putih sejak Sabtu lalu tidak menjejaskan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, di sini, yang membekalkan air kepada hampir 200,000 pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven berkata, hasil pemantauan dan siasatan dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mendapati tiada lagi buih putih dikesan di lokasi aduan di Sungai Skudai berhampiran jambatan Taman Impian Emas.

"Pengurusan LRA Sultan Ismail yang turut berada di lokasi kejadian bagi tinjauan bersama saya pagi tadi memaklumkan pencemaran buih yang berlaku tidak menjejaskan operasi loji.

"Saya dan JAS Johor akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca pencemaran terutamanya di premis yang beroperasi di sepanjang Sungai Skudai yang juga berpotensi menyebabkan pencemaran sungai sehingga berbuih.

"Persampelan kualiti air sungai di LRA Sultan Ismail mendapati tahap kualiti air adalah normal dengan bacaan Oksigen Terlarut (DO) adalah 4.95 dan pH adalah 7.

"Orang ramai boleh melaporkan kes pencemaran kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol di talian 1-800-88-2727 dan atau melalui eaduan di [email protected], jika melihat apa jua pencemaran yang berlaku," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, beberapa rakaman video Sungai Skudai berbuih ditularkan oleh seorang pengguna akaun Facebook atas nama, An Niza.

JAS Johor dilaporkan telah mengambil sampel air Sungai Skudai yang berbuih itu sejak Sabtu lalu, namun mendapati kualitinya berada pada tahap normal.

Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd Rashdan Topa, dilaporkan berkata, tahap alkali (ph) air sungai itu direkodkan pada bacaan 7 apabila sampelnya diuji.

JAS Johor yang melakukan tinjauan di Sungai Skudai pagi tadi dilaporkan tidak menolak kemungkinan kejadian yang berlaku di sungai itu berpunca daripada industri di sekitar kawasan sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 6:30 PM