Anggota penguatkuasa JAS Johor memeriksa efluen yang dilepaskan kilang pembuatan komponen basikal dan aksesori memancing ke dalam longkang awam di Kawasan Perindustrian Pontian. FOTO IHSAN FB JAS
Anggota penguatkuasa JAS Johor memeriksa efluen yang dilepaskan kilang pembuatan komponen basikal dan aksesori memancing ke dalam longkang awam di Kawasan Perindustrian Pontian. FOTO IHSAN FB JAS
Omar Ahmad


Pontian: Kilang pembuatan komponen basikal dan aksesori memancing diarah menghentikan operasi serta-merta selepas dikesan melepaskan efluen tidak dirawat ke dalam longkang awam.

Perbuatan itu dikesan hasil pemeriksaan Jabatan Pengaliran dan Saliran (Jas) di Kawasan Perindustrian Pontian, di sini, hari ini.

Jas Johor dalam kenyataannya di Facebook hari ini memaklumkan, kilang terbabit dikompaun RM10,000 atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Menurut kenyataan itu, premis terbabit juga dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana melepaskan efluen tidak di rawat ke dalam longkang awam.

"Hasil siasatan Jas Johor mendapati terdapat kegagalan terhadap Sistem Pengolahan Effluen Perindustrian di premis yang menyebabkan efluen tidak di rawat dilepaskan.

"Susulan itu, kilang terbabit diarahkan menghentikan operasi serta-merta dan perlu mengambil langkah pembaikan dengan kadar segera bagi memastikan pencemaran yang berlaku dapat diatasi," katanya.

Efluen ialah sisa buangan cecair seperti bahan kimia, kumuhan, dan sebagainya dari kilang, atau kumbahan yang mengalir keluar ke dalam sungai atau laut.

Jas Johor mengingatkan pihak industri dan mana-mana pihak berkaitan supaya sentiasa memastikan pematuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya secara konsisten sepanjang masa.

Hubungi talian bebas tol 1-800-88-2727, emel ke [email protected] atau ke portal aduan https://[email protected] untuk melaporkan sebarang aduan mengenai pencemaran alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 1:40 PM