POLIS memeriksa motosikal yang disita dalam operasi berakhir awal pagi tadi. Foto Zuhainy Zulkiffli.
POLIS memeriksa motosikal yang disita dalam operasi berakhir awal pagi tadi. Foto Zuhainy Zulkiffli.
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Tiada aktiviti lain untuk dilakukan antara alasan yang diberi remaja ketika ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Tun Dr Lim Choong Eu di sini, awal pagi tadi.

Remaja berusia 16 tahun itu juga memberitahu keluarganya tidak tahu dia keluar rumah untuk 'main motosikal'.

Selain pelajar Tingkatan Empat terbabit, pasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang turut menahan penuntut kolej kerana melakukan aksi sama, antaranya 'superman', 'zig-zag' dan 'wheelie'.

Ketua JSPT Pulau Pinang, Superintendan Zafri Zokapli berkata, operasi bermula 12 tengah malam hingga 5 pagi itu memeriksa 50 motosikal dengan kebanyakan kenderaan diubah suai di bahagian enjin dan ekzos.

"Operasi dibuat kerana kita menerima aduan orang ramai mengenai kenderaan yang diubah suai dan mengeluarkan bunyi bising.

"Mereka kerap melakukan kegiatan rempit pada malam minggu dan cuti am di sekitar lebuh raya dan Pantai Seagate," katanya di sini, hari ini.

Zafri berkata, semua motosikal melanggar peraturan disita, manakala dua pemandu kereta diambil tindakan kerana memandu tanpa lesen.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 25 tahun dan sebanyak 150 saman pelbagai kesalahan turut dikeluarkan," katanya yang memberitahu semua kenderaan disita dibawa ke Balai Polis Bayan Lepas untuk tindakan lanjut.

Beliau menasihati anak muda supaya tidak melakukan aktiviti yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 8:48 AM