GAMBAR hiasan. FOTO Ihsan Polis.
GAMBAR hiasan. FOTO Ihsan Polis.
Audrey Dermawan


Georgetown: Polis Pulau Pinang mengeluarkan hampir 10,000 saman kepada pemandu atas pelbagai kesalahan dalam 'Op Selamat 18' peringkat negeri sempena sambutan Aidilfitri.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang Superintendan Zafri Zolkapli berkata, antara kesalahan utama ialah memandu di lorong kecemasan; memotong di garisan berkembar, memotong barisan, melanggar lampu merah, menggunakan telefon semasa memandu dan memandu melebihi had laju.

"Sejak Op Selamat peringkat negeri bermula sehingga Rabu lalu, kami sudah mengeluarkan 9,685 saman.

"Dalam tempoh itu, 803 kemalangan dengan lapan kematian turut direkodkan," katanya malam ini.

Zafri berkata, sebanyak 2.3 juta kenderaan dipercayai memasuki Pulau Pinang sejak Jumaat lalu.

"Secara keseluruhan, aliran trafik masih lancar di kebanyakan jalan. Bagaimanapun, trafik sesak di Lebuhraya Utara Selatan (NSE) berhampiran plaza tol Juru dan plaza tol Sungai Dua," katanya.

Pada 18 April, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata, lima kesalahan lalu lintas utama termasuk melanggar lampu merah yang dilakukan dalam tempoh Op Bersepadu antara 29 April hingga 8 Mei tidak akan dikenakan kompaun.

Sebaliknya, kesemua kesalahan ini perlu diselesaikan di mahkamah.

Lima kesalahan lalu lintas utama adalah memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, gagal patuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan memotong barisan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 12:59 AM