Mohd Azam Shah Yaacob


EMPAT lelaki yang leka berlumba di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Kuala Lumpur, malam semalam tergamam apabila menyedari perlumbaan mereka turut disertai beberapa anggota polis yang menyamar sebagai mat rempit.

Malah, ketika melakukan pelbagai aksi berbahaya termasuk ‘superman’, mereka tidak menyedari ‘pelumba’ di sebelah adalah anggota polis sehingga ditahan sebaik ingin memulakan pusingan baru di lebuh raya itu membabitkan laluan antara Sentul dan Gombak.

Dalam Ops Samseng Jalanan itu, empat lelaki berusia 19 hingga 32 tahun itu ditahan anggota Unit Risikan Operasi (RO) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur untuk siasatan.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, keempat-empat lelaki itu bukan sahaja melakukan aksi membahayakan keselamatan pengguna lain, sebaliknya turut didapati menggunakan motosikal diubah suai secara ekstrim untuk berlumba.

Katanya, salah seorang lelaki itu menuntut di sebuah universiti tempatan di ibu kota dan dibayar untuk menjadi ‘jockey’ bagi menguji sebuah motosikal yang baru diubah suai.

“Lelaki itu dibayar RM50 bagi menguji motosikal Yamaha Y15ZR yang baru diubah suai dalam perlumbaan haram di lebuh raya berkenaan.

“Motosikal itu disita kerana diubah suai secara ekstrim dan berbahaya seperti menggunakan tayar sotong, tiada brek belakang dan sistem ekzos yang bingit.

“Ketika berlumba, lelaki itu turut didapati melakukan aksi berbahaya seperti ‘superman’ dan ditahan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

LELAKI yang ditahan kerana berlumba di Lebuhraya DUKE, malam semalam.
LELAKI yang ditahan kerana berlumba di Lebuhraya DUKE, malam semalam.

Zulkefly berkata, operasi itu dijalankan susulan kegiatan lumba haram di lebuh raya berkenaan membabitkan laluan antara Sentul dan Gombak.

Katanya, pada masa sama, JSPT Kuala Lumpur turut menjalankan Op Motosikal di Jalan Raja Laut dan Op Mabuk di empat lokasi sekitar ibu negara secara serentak.

“Menerusi Op Motosikal dijalankan, sebanyak 201 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, pengubahsuaian nombor pendaftaran serta ubah suai struktur kenderaan.

“Op Mabuk pula dijalankan di empat lokasi di Jalan Syed Putra, Jalan Sungai Besi, Jalan Tun Razak dan Jalan Klang Lama.

“Dalam operasi itu, seramai 22 pemandu kereta diuji dan 11 daripadanya positif memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Katanya, kesemua pemandu yang ditahan dalam keadaan mabuk disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 8:22 PM