Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Proton Satria, kereta Toyota Altis dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier hingga mencederakan seorang pejalan kaki wanita warga emas di Jalan Sasaran, Sungai Buloh, Jeram, semalam. FOTO IHSAN TULAR
Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Proton Satria, kereta Toyota Altis dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier hingga mencederakan seorang pejalan kaki wanita warga emas di Jalan Sasaran, Sungai Buloh, Jeram, semalam. FOTO IHSAN TULAR
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Tidak hanya dilanggar kereta malah seorang wanita warga emas tercampak pada tiang elektrik sebelum ditemui terbaring di dalam longkang.

Itu nasib malang dialami wanita berusia 67 tahun sejurus dirempuh kereta dipandu melulu di Jalan Sasaran, Sungai Buloh, Jeram, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 9 pagi semalam.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan kereta Proton Satria, kereta Toyota Altis, kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier dan seorang pejalan kaki wanita.

"Siasatan awal mendapati kereta Proton Satria dipandu seorang wanita berusia 30 tahun memasuki laluan bertentangan lalu melanggar Toyota Altis.

"Akibat pelanggaran itu Proton Satria berkenaan berpusing lalu melanggar pejalan kaki wanita yang berada di tepi bahu jalan.

"Mangsa tercampak pada tiang elektrik lalu masuk ke dalam longkang di tepi jalan.

"Selain itu, SUV Toyota Harrier yang diparkir berhampiran kawasan kejadian juga turut dilanggar," katanya.

Ramli berkata, pejalan kaki terbabit cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan rawatan sementara mangsa lain tidak mengalami kecederaan.

"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 berhubung kemalangan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 4:26 PM