Oleh Muhamad Lokman Khairi


Tanjung Malim: Tiga perwakilan Dewan Muslimat PAS yang meninggal dunia dalam kemalangan petang tadi, dilanggar ketika cuba membantu mangsa tragedi berkenaan.

Kejadian kira-kira 2 petang itu berlaku di Kilometer 390 di Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Behrang, di sini yang membabitkan enam kenderaan dan turut mencederakan lima orang.

Ketua Ameerah PAS Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23 dan Ketua Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, disahkan maut di tempat kejadian, manakala Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Slim River.

Ketika insiden itu ketiga-tiganya dalam perjalanan pulang ke Kedah selepas menghadiri Muktamar PAS ke-69 di Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pihaknya dimaklum kemalangan membabitkan empat kereta dan dua motosikal.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda dipandu lelaki 39 tahun hilang kawalan dan berpusing sebelum terbalik di longkang kiri jalan.

"Kemudian, tiga wanita ahli muslimat PAS Sungai Petani yang menaiki Toyota Fortuner berhenti di lorong kecemasan untuk membantu pemandu pacuan empat roda itu.

"Turut berhenti di laluan kecemasan untuk menghulur bantuan adalah penunggang motosikal Yamaha Y15ZR berusia 42 tahun (lelaki); penunggang motosikal Honda EX5 berusia 46 tahun (lelaki) dan pemandu (lelaki) kereta Perodua Myvi berusia 31 tahun.

"Kira-kira lima minit kemudian, datang kereta Toyota Altis yang dipandu lelaki berumur 30 tahun, tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar tiga wanita dan tiga lelaki berkenaan, hingga semua mangsa terhumban ke longkang di kiri jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hasni berkata, ia menyebabkan Fatihah Nabila dan Taibah meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Nurul Najihah meninggal dunia ketika dirawat di hospital, manakala mangsa lain cedera.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 8:35 PM