Dr Adham Baba ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Modul Komunikasi Sains Young Scientists Network-Akademi Sains Malaysia di Menara MATRADE hari ini. FOTO BERNAMA
Dr Adham Baba ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Modul Komunikasi Sains Young Scientists Network-Akademi Sains Malaysia di Menara MATRADE hari ini. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim dan Anis Syuhada Mohd Rosli


Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menggesa pencarian saintis muda dilaksanakan di awal usia persekolahan bagi memastikan negara mempunyai pelapis kepimpinan terbaik dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE).

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ketika ini Young Scientists Network, Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM) mempunyai lebih 250 ahli dan mengiktiraf 225 saintis muda terbaik di negara ini.

"Setakat ini, saintis termuda yang ada berusia 28 tahun. Melihat keadaan itu, saya menggesa ASM membuat pencarian lebih ramai saintis muda di awal usia persekolahan dengan mengadakan pelbagai program bersama masyarakat.

"ASM menyediakan platform YSN bagi menjalankan aktiviti dan bengkel mengikut kepakaran dalam bidang masing-masing.

"Sudah pasti kesemua saintis muda ini menyumbang kepada ekosistem STIE yang lebih kondusif dan tangkas dalam mencapai matlamat Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi libat urus bersama saintis muda dan melancarkan buku Modul Komunikasi Sains YSN-ASM di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Mosti, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Presiden ASM, Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail.

Dalam pada itu, Adham berkata, data terkini menunjukkan hanya 47 peratus jumlah pelajar dalam bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan sebanyak 19 peratus bagi sains tulen.

Menurutnya, Perdana Menteri pada mesyuarat Majlis Sains Negara bulan lalu turut menekankan kepentingan perancangan dan hala tuju STEM Kebangsaan bagi memastikan negara mempunyai bakat berpotensi yang dapat menerajui transformasi STIE.

"Mosti menerusi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 juga sudah merangka pelbagai usaha membudayakan STIE.

"Salah satu pendekatan diambil adalah mempertingkatkan kemahiran komunikasi sains di kalangan saintis, penyelidik, guru, pengamal media dan lain-lain agar informasi STI dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada orang ramai terutama generasi muda," katanya.

Justeru, katanya, buku Modul Komunikasi Sains YSN-ASM itu bertepatan sebagai rujukan dalam menyampaikan komunikasi sains yang mudah difahami sekaligus menarik minat generasi muda.

Tempahan awal buku yang dihasilkan sembilan saintis diketuai Dr Siti Khayriyyah Mohd Hanafiah itu boleh dibuat melalui laman web www.akademisains.gov.my/science-communication.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 5:04 PM