Tengku Mohd Azzman dilantik Presiden ASM ke-6.
Tengku Mohd Azzman dilantik Presiden ASM ke-6.
Dayang Pretty Abbyana Datu Asis


Kuala Lumpur: Felo Kanan Akademi Sains Malaysia (ASM) Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim sebagai Presiden ASM keenam berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan beliau yang juga salah seorang Felo Pengasas ASM untuk tempoh 1 Mac lalu hingga 28 Februari 2026 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatudin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau akan berperanan sebagai Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada negara seperti yang diluluskan oleh Kabinet pada 22 Jun 2022.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata, pengalaman luas yang dimiliki Tengku Mohd Azzman diharap membantu memperkukuhkan ekosistem dan tadbir urus Badan Pemikir bagi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) negara.

"Saya yakin melalui kepimpinan terbaharu ASM, agensi ini mampu menyalurkan manfaat yang lebih besar kepada masyarakat dan negara berlandaskan prinsip Malaysia Madani.

"Mosti ingin mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau sekali gus mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan kepada Presiden ASM kelima, Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail yang mempamerkan komitmen padu dalam menjayakan agenda STIE negara," katanya.

Sementara itu, Tengku Mohd Azzman berkata, beliau akan memikul tanggungjawab dan amanah dengan sebaik mungkin di samping bekerjasama rapat dengan semua pihak.

Menurutnya, ia bagi meningkatkan peranan ASM bersama komuniti saintifik negara ke arah pengukuhan STIE Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tengku Mohd Azzman antara individu yang bertanggungjawab merintis bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif pertama di Malaysian Institute of Microelectronic System (MIMOS) Berhad sejak 1984 sehingga 2005.

Koridor Raya Multimedia atau dikenali sebagai Mulmedia Super Corridor (MSC) adalah program perdana yang dicetuskan di bawah kepimpinan Tengku Mohd Azzman.

Beliau juga berperanan untuk merangka Agenda Komunikasi Maklumat Kebangsaan (NITA) ketika memegang jawatan sebagai Setiausaha Pertama National IT Council (1994).

Selain itu, beliau pernah menganggotai beberapa badan pasukan Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations ICT Task Force) yang bertanggungjawab dalam membangunkan dan memantau pembangunan industri ICT Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 2:29 PM