Omar Ahmad


Kota Tinggi : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) meminta Akademi Sains Malaysia (ASM) melakukan kaji selidik semula berhubung isu lebih 70 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang tidak mahu menyambung pelajaran.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sekiranya angka itu benar-benar menunjukkan situasi sebenar, ia adalah kerugian kepada negara untuk melahirkan lebih ramai bakat muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, kajian itu perlu dilakukan segera bagi melihat tindakan sesuai yang akan dilaksanakan untuk menambah minat golongan itu.

"Kita minta ASM melakukan kaji selidik segera untuk kenal pasti peratusan itu tepat atau bukan.

"Kemudian kita akan kemukakan hasilnya kepada kerajaan bagi melihat apakah tindakan susulan yang akan laksanakan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival STEM Merdeka Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Pada 31 Julai lalu, kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran.

Walaupun data itu adalah dari 2019, tetapi trend itu dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021.

Mengikut data kajian 2019, 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan, hanya kira-kira 170,000 memilih menyambung pengajian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 3:13 PM
Dr. Adham (tengah) ketika hadir Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Merdeka di Pusat Informasi dan Pelancongan (TIC) Kota Tinggi. FOTO OMAR AHMAD
Dr. Adham (tengah) ketika hadir Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Merdeka di Pusat Informasi dan Pelancongan (TIC) Kota Tinggi. FOTO OMAR AHMAD