DATUK Seri Dr Adham Baba ketika berucap  di Program Media Engagement Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Dr Adham Baba ketika berucap di Program Media Engagement Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Tiga Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI ) mencapai sasaran 100 peratus ditetapkan kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Adham Baba berkata, semalam beliau bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sesi Hari Laporan Kad sebagai pemarkahan sempena pencapaian awal tempoh 100 hari pertama perkhidmatan.

Menurutnya, tiga petunjuk KPI yang dibentangkan itu adalah Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom & Vaksin Negara (MGVI); Pembangunan Ekosistem Industri Pemula Start-up yang Komprehensif dan Penginovasian Sistem Penyampaian Kerajaan (MyHackathon).

Katanya, pencapaian ini tidak akan berlaku tanpa kerjasama semua pihak termasuk warga kerja kementerian dan juga bantuan media yang membantu membuat liputan hampir setiap hari.

"MOSTI komited memastikan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTI) 2021-2030 dan Rangka Kerja 10-10 MySTIE dapat memberi galakan kepada Keluarga Malaysia dalam memastikan idea berkaitan sains, teknologi dan inovasi dapat diperkasakan dan dikomersialkan," katanya kepada media ketika berucap pada Majlis Media Engagement Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Sebanyak 33 inisiatif ditetapkan MOSTI dalam tempoh pelaksanaan 100 hari bermula 1 September sehingga 9 Disember ini.

Kesemua inisiatif ini dibangunkan berdasarkan empat bidang utama iaitu usaha mengawal pandemik Covid-19;

pembangunan teknologi; pelbagai program sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemangkin ekonomi dan pembudayaan dan pembangunan bakat.

Adham berkata, bagi tahun 2022 MOSTI akan terus menumpukan usaha kepada inisiatif jangka pendek yang mampu memberi impak yang besar seperti penubuhan The Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), sistem simpanan tenaga melalui Program Nano Malaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI) dan penghasilan vaksin melalui penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia.

Menurutnya, bagi usaha membangunkan ekosistem start-up pula, di bawah MOSTI terdapat agensi pembiaya antaranya Cradle Fund Sdn Bhd (CRADLE),

Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP),Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) dan Kumpulan Modal Perdana (KMP).

Katanya, kementerian berharap tawaran pembiayaan daripada agensi berkenaan dapat dipromosikan oleh pihak media supaya syarikat teknologi khususnya tahu tentang bentuk sokongan yang diberikan oleh MOSTI.

"Dalam membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi, kementerian juga berharap agar penekanan dapat diberikan kepada pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) membabitkan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT).

"Pemupukan terhadap program STEM sejak daripada awal ini dapat melahirkan lebih ramai innovator, penyelidik dan saintis kepada negara untuk masa depan," katanya.

Dalam pada itu Adham berharap hubungan akrab di antara MOSTI dan pihak media dapat terus dieratkan lagi serta berpanjangan.

Katanya, majlis ini juga dilihat sebagai medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim, saling kenal mengenali dan bertukar-tukar fikiran serta berharap dengan sokongan sahabat media MOSTI akan lebih unggul dan dapat terus menabur bakti demi manfaat Keluarga Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 5:27 PM