Prof Dr Zaliman Sauli
Prof Dr Zaliman Sauli
Muhammad Saufi Hassan


Bagi memastikan pembudayaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mampu menarik pelajar sekolah, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Siri 'Colloquial' STEM dan Inovasi Antarabangsa (ISICS).

Pengerusi ISICS Dr Mohamad Nazri Abdul Halif berkata, program ISICS itu mengambil masa dua bulan bagi setiap satu siri penganjuran dan mempunyai kelainan dari program STEM yang lain kerana ianya membawa saintis tersohor bertaraf Pemenang Hadiah Nobel serta ahli teknologi yang mempunyai impak yang besar kepada masyarakat khususnya kepada generasi muda.

Katanya, sebagai penganjur UniMAP turut berharap bahawa siri ISICS ini akan memberikan impak yang besar kepada masyarakat serta pelajar berkenaan STEM dan inovasi.

"Siri-siri berikutnya akan menampilkan beberapa saintis tersohor dunia seperti Prof Carl Wieman yang pernah memenangi Hadiah Nobel Fizik 2001, Prof William Phillips (Pemenang Hadiah Nobel Fizik 1997) serta Dr Hashima Hasan (Saintis NASA yang terbabit dalam pembangunan Teleskop Angkasa James Webb) serta beberapa saintis dan ahli teknologi yang lain.

"Maklumat terkini berkenaan Siri ISICS akan datang akan dimaklumkan dalam laman web rasmi ISICS di https://isics.unimap.edu.my/ serta di Facebook rasmi UniMAP dan Instagram UniMAP," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Zaliman Sauli menzahirkan komitmen UniMAP dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya dengan melaksanakan program ISICS sebagai platform untuk meningkatkan minat serta motivasi pelajar terhadap bidang STEM.

"Siri ISICS ini adalah perkongsian ilmu dan pengalaman dalam bidang STEM oleh ahli sains dan teknologi tersohor luar negara, dan ianya terbuka kepada semua masyarakat dan fokus utama adalah kepada pelajar sekolah dan universiti.

"Sebagai universiti yang berteraskan kejuruteraan adalah menjadi tanggungjawab UniMAP melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan lebih ramai pelajar meminati serta memilih bidang itu sebagai aliran ke universiti," katanya ketika berucap melancarkan ISICS 2021, baru-baru ini.

Program kerjasama UniMAP dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), National STEM Association (NSA), Akademi Sains Malaysia (ASM), Kelab STEM UniMAP, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dan JPN Perlis itu berjaya menarik penyertaan 8,000 pelajar sekolah seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 5:24 PM