Etnik Rohingya melakukan urusan perniagaan mereka sekitara kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Etnik Rohingya melakukan urusan perniagaan mereka sekitara kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 6,932 tindakan sita barangan dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap penjaja warga asing termasuk di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur bagi tempoh Januari lalu hingga semalam.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerusi Jabatan Penguatkuasaan DBKL sentiasa mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja warga asing termasuk di sekitar pasar borong berkenaan secara berterusan.

"Pada tahun lalu, sebanyak 7,970 tindakan sita terhadap barangan penjaja warga asing dilakukan. Bagi tempoh Januari lalu hingga semalam pula, sebanyak 6,932 tindakan sita barangan dilakukan.

"Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016," katanya.

Menurutnya, tindakan sita terhadap warga asing dilakukan serta merta dan barangan yang disita tidak boleh dituntut serta akan dilupuskan.

"Tindakan terhadap warga asing termasuk mengawal kemasukan, pergerakan dan menahan mereka yang menyalahi peraturan adalah di bawah bidang tugas dan tanggungjawab Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Selaku pihak berkuasa tempatan (PBT), DBKL hanya boleh mengambil tindakan terhadap barangan penjaja warga asing yang didapati menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran," katanya.

Bagaimanapun, katanya, DBKL sentiasa bekerjasama dengan agensi lain termasuk JIM bagi memastikan pembabitan warga asing dalam aktiviti perniagaan di sekitar ibu kota ini dapat dibanteras.

"Selain itu, kami juga melakukan pemantauan 24 jam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di pasar borong terbabit dan kawasan sekitarnya bagi membendung aktiviti penjajaan oleh warga asing.

"Orang awam dinasihatkan untuk memberikan kerjasama dengan tidak membeli barang keperluan daripada warga asing kerana aktiviti mereka tidak mempunyai kebenaran.

"Mereka juga diminta menyalurkan maklumat mengenai aktiviti perniagaan oleh warga asing kepada kami menerusi Sistem Pengaduan Awam Kuala Lumpur (ADU@KL) di pautan pantas https://adukl.dbkl.gov.my untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 8:34 AM