TINJAUAN di sekitar Pasar borong. FOTO NSTP
TINJAUAN di sekitar Pasar borong. FOTO NSTP
Murnaena Muhammad Nasir


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan sektor penjajaan dan perniagaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur supaya hanya menggaji warga tempatan, berkuatkuasa hari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, arahan berkenaan dikeluarkan kepada pelesen pasar borong, pasar awam dan penjaja supaya mematuhi arahan penggajian pekerja di sektor berkenaan.

"Bagi semua pelesen dalam sektor penjajaan di wilayah ini dimestikan melantik dan menggaji pembantu atau pekerja warganegara Malaysia sahaja seperti tertakluk dalam Undang-Undang Kecil (UUK).

"Arahan ini termaktub di dalam UUK 14 Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, UUK 38 Undang-Undang Kecil Pasar (WPKL) 2016 dan UUK 16 Undang-Undang Kecil Pasar Borong (WPKL) 2002.

"Tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil kepada pelesen yang gagal mematuhi arahan ini termasuk tindakan sita serta membatalkan lesen perniagaan atau menamatkan kontrak perjanjian," katanya dalam satu kenyataan media yang disiarkan di Facebook rasmi DBKL, hari ini.

Arahan sama turut dikeluarkan kepada pelesen premis tred, perniagaan dan industri supaya mematuhi tatacara pelantikan pekerja warga asing bagi memastikan operasi tidak terjejas.

"Bagi semua pelesen premis tred, perniagaan dan industri yang ingin melantik dan menggaji pekerja warga asing dimestikan mempunyai permit kerja yang sah sahaja.

"Arahan berkenaan termaktub di dalam UUK 20 Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan UUK 22 Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.

"Kegagalan mematuhi arahan ini membolehkan tindakan tegas dikenakan ke atas pelesen termasuk membatalkan lesen perniagaan" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 5:50 PM