TINDAKAN sita serta-merta dilakukan terhadap premis warga asing yang disyaki bersekongkol dengan peniaga tempatan.
TINDAKAN sita serta-merta dilakukan terhadap premis warga asing yang disyaki bersekongkol dengan peniaga tempatan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Warga tempatan punya lesen tapi Bangla punya bisnes!

Itu antara 'barah' dalam kalangan peniaga tempatan yang masih berterusan menjual atau menyewakan lesen perniagaan diperolehi kepada warga asing.

Golongan 'ali baba' warga tempatan ini atau turut dikenali sebagai 'rakan kongsi tidur' semakin menjadi-jadi biarpun ketika negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, kegiatan menjual tapak atau lesen perniagaan ini antara punca lambakan peniaga warga asing yang terus menguasai lokasi perniagaan utama.

Menurutnya, antara kawasan popular aktiviti peniaga 'ali baba' ini adalah di sekitar Chow Kit, Pasar Pudu, Bukit Bintang dan Pusat Bandar Utara (Pasar Borong) Kuala Lumpur.

"Ini dibuktikan apabila pihak DBKL masih mengesan kewujudan penjaja warga asing dalam setiap operasi dilakukan bagi membenteras masalah itu.

"Terbaharu DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) dan Pejabat Cawangan Wangsa Maju mengadakan operasi tindakan khas terhadap aktiviti penjaja warga negara asing sekitar Setapak di sini, Selasa lalu.

"Tindakan khas ini membabitkan aktiviti menjual makanan dan minuman dikendalikan warga negara Indonesia, Thailand dan Bangladesh.

"Hasil pemeriksaan dilakukan mengejutkan kami apabila lima penjaja tempatan yang sebelum ini memperolehi Lesen KL Prihatin didapati 'menjual' lesen diterima itu kepada warga asing," katanya.

Menurutnya, semua warga tempatan terbabit dikenakan tindakan pembatalan lesen masing-masing ekoran melanggar syarat kerana membenarkan lesen atau tapak niaga mereka dikendalikan warga asing.

"Keadaan ini amat mendukacitakan DBKL yang sekian lama berusaha membantu peniaga tempatan dengan memberikan pelbagai insentif dan keistimewaan.

"Susulan itu sebanyak 13 tindakan sita dan pindah barangan penjaja seperti khemah, kerusi, meja, tong gas dan dapur dilakukan kerana mereka menyalahi Undang-Undang Kecil Pelesenan, Penjaja dan Gerai (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016," katanya.

TINDAKAN sita dan pindah barangan penjaja seperti khemah, kerusi, meja, tong gas dan dapur dilakukan kerana mereka menyalahi Undang-Undang Kecil Pelesenan, Penjaja dan Gerai (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.
TINDAKAN sita dan pindah barangan penjaja seperti khemah, kerusi, meja, tong gas dan dapur dilakukan kerana mereka menyalahi Undang-Undang Kecil Pelesenan, Penjaja dan Gerai (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.

Beliau berkata, aktiviti sama turut dikesan hasil operasi Tindakan Ops Patuh Terhadap Premis Perniagaan dan Komersial di 11 kawasan Parlimen WPKL sejak 30 September lalu.

"Melalui operasi itu, pihak DBKL memeriksa 471 premis dan syarikat membabitkan aktiviti pusat urut, perniagaan restoran, kedai pakaian, jahitan baju, kedai runcit, gunting rambut, kedai barangan am dan lain-lain aktiviti.

"Hasilnya, sebanyak 26 premis diarah tutup selepas pemeriksaan mendapati premis perniagaan itu dikendalikan warga negara asing tanpa kebenaran.

"Tindakan itu diambil terhadap 15 peniaga warga Bangladesh, 10 warga Pakistan, tujuh warga India dan 12 warga Indonesia yang dipercayai turut dibantu peniaga tempatan untuk bertapak di negara ini. Semua mereka ditahan dan disiasat bagi tujuan dokumentasi.

"Sebanyak 11 notis kompaun turut dikeluarkan DBKL membabitkan pelbagai kesalahan terhadap individu, pemilik premis dan syarikat yang ingkar pematuhan SOP PPN yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Warga asing sanggup bayar sewa lesen RM5k sebulan

Sanggup membayar sewa lesen perniagaan milik warga tempatan mencecah RM5,000 sebulan.

Itu antara pelaburan besar dilakukan peniaga warga asing yang mempunyai sumber kewangan komuniti warga asing atau 'dana gelap' bagi menguasai perniagaan di sesuatu kawasan berpotensi.

Usaha mereka menjadi mudah apabila dilindungi warga tempatan yang membenarkan nama mereka digunakan dalam lesen selain mengaku sebagai pemilik kedai jika diserbu pihak berkuasa tempatan.

Ini terbukti ketika tinjauan dilakukan wartawan Harian Metro apabila rata-rata peniaga warga asing tidak langsung gentar mengaku perniagaan itu adalah milik mereka.

Peniaga warga asing membabitkan warga Aceh, Bangladesh dan Rohingya dilihat mula 'menjajah' perniagaan kedai runcit, makanan, kedai gunting rambut dan perniagaan sayur serta buah-buahan sekitar ibu kota.

Tinjauan di beberapa kawasan antaranya Kampung Baru, Kampung Datuk Keramat dan Sentul di sini, mendapati beberapa premis perniagaan itu diusahakan warga asing walaupun pemegang lesen adalah warga tempatan.

Seorang pemilik premis runcit warga Aceh yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 30-an, berkata, dia mewarisi perniagaan dari ayahnya yang mula berniaga sejak berhijrah ke negara ini.

"Kedai ini sudah umur (berusia) 20 tahun... memang ada lesen tetapi bukan atas nama ayah saya. Ia atas nama kawan ayah (warga tempatan)... sebab itu kami boleh berniaga.

"Ayah sudah tidak sihat dan kini saya ambil alih perniagaan ayah saya itu," katanya.

PIHAK DBKL menyerbu premis dikendalikan warga asing yang dikesan menggunakan lesen warga tempatan untuk beroperasi.
PIHAK DBKL menyerbu premis dikendalikan warga asing yang dikesan menggunakan lesen warga tempatan untuk beroperasi.

Sementara itu, Setiausaha Agong Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Mohd Zamri Mohamed berkata, tindakan penguatkuasaan secara holistik perlu diambil pihak berkuasa bagi menangani isu peniaga asing dan 'ali baba'.

"Setiap hari ada tindakan diambil namun perlu dilakukan secara berterusan dan bukan bermusim. Jika tidak keadaan akan bertambah teruk apabila lebih banyak lesen akan disewakan kepada warga asing.

"Warga tempatan kerap memberi alasan keuntungan diperolehi amat sedikit berbanding menyewakan lesen atau tapak niaga kepada warga asing. Ini antara 'penyakit' yang menjadi punca isu peniaga 'ali baba' sukar dibenteras," katanya.

Menurutnya, terdapat peruntukan yang membolehkan lesen milik warga tempatan itu dibatalkan jika didapati menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing.

"Tetapi mereka ini licik, bila pemeriksaan dilakukan mereka (warga asing) hanya mengaku sebagai pekerja sahaja dan tindakan hanya boleh diambil mengikut Akta Imigresen 1963.

"Perkara ini perlu ditangani secara menyeluruh bagi mengelakkan ia terus menjadi amalan kepada mana-mana individu yang ingin mendapatkan keuntungan mudah," katanya.

1,130 premis disita hingga Julai lalu

Sebanyak 1,130 premis dikendalikan warga asing yang turut dikaitkan dengan aktiviti 'ali baba' berjaya dikenal pasti dan diambil tindakan tegas sejak Januari lalu.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Osman Ismail berkata, masalah kebanjiran peniaga warga asing dan isu penjualan lesen 'ali baba' mampu ditangani jika persatuan peniaga dan penjaja bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menangani isu ini.

Beliau berkata, pihak persatuan juga perlu memainkan peranan utama masing-masing bagi memberi kesedaran kepada ahli yang memiliki lesen perniagaan.

"Amat mendukacitakan apabila ada di antara ahli persatuan sendiri yang menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing. Cara ini digunakan untuk mendapat keuntungan yang singkat tanpa perlu memulakan perniagaan.

"Penguatkuasaan sering dijalankan DBKL bagi mengesan kesalahan ini. Kami dapati ada di antara mereka bersekongkol iaitu menggunakan pelbagai alasan kononnya warga asing terbabit adalah pekerja mereka," katanya.

ANGGOTA penguat kuasa DBKL merampas barang perniagaan milik warga asing dikesan memperolehi lesen daripada warga tempatan.
ANGGOTA penguat kuasa DBKL merampas barang perniagaan milik warga asing dikesan memperolehi lesen daripada warga tempatan.

Malah ada juga sengaja menggaji dan meletakkan juruwang warga tempatan bagi memperlihatkan seolah-olah premis itu milik peniaga tempatan," katanya kepada Harian Metro.

Osman berkata, pihaknya sudah menyita 1,130 premis yang dikendalikan warga asing sejak Januari hingga Julai lalu.

"Tindakan serta merta ini diambil mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan dan Penjaja (WPKL) 2012 dan semua barangan yang disita tidak boleh dituntut.

"Selain sitaan, pihak DBKL juga mengambil tindakan untuk menutup premis yang melakukan kesalahan ketika tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),"katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun 2020 sebanyak 224 premis yang dikendalikan warga asing diarah tutup.

"Semua tindakan ini diambil mengikut Seksyen 101(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 2:00 PM