15 tindakan sita dan pindah barangan itu dikenakan ke atas warga asing terbabit kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah. FOTO Ihsan Facebook DBKL
15 tindakan sita dan pindah barangan itu dikenakan ke atas warga asing terbabit kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah. FOTO Ihsan Facebook DBKL
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Tindakan 15 penjaja warga asing yang menjaja secara haram menerima padah apabila mereka akhirnya diusir dan dikenakan tindakan sita dalam operasi Tindakan Khas di beberapa premis di sekeliling kawasan berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur, dekat sini semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan itu dilaksanakan di sekitar Jalan 1/3a, Jalan 6/3a dan Jalan Batu Hampar, Pusat Bandar Utara Selayang di sini.

"Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan sekitar luar kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur dilakukan membabitkan pemeriksaan terhadap premis perniagaan borong sayuran, buah-buahan, barangan am.

"Operasi juga dijalankan bagi memantau aktiviti penjajaan dari warga asing terutama dalam kalangan etnik Rohingya dari Myanmar," katanya dalam hantaran di Facebook.

DBKL memaklumkan, 15 tindakan sita dan pindah barangan itu dikenakan ke atas warga asing terbabit kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Katanya, tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil 3 (UUK), Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.

"Tujuh premis dikenakan tindakan notis kompaun membabitkan kesalahan halangan tempat awam, premis tiada lesen dan melantik pembantu tanpa kebenaran.

"Tindakan diambil mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 7:10 PM