Anggota bomba memotong dan menanggalkan botol minuman yang tersekat pada lidah kanak-kanak. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba memotong dan menanggalkan botol minuman yang tersekat pada lidah kanak-kanak. FOTO Ihsan Bomba
Recqueal Raimi


Ranau: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan selepas botol minuman yang diminumnya tersekat pada lidah dan mulut dalam kejadian di daerah ini, petang tadi.

Dalam kejadian 2.45 petang itu, kanak-kanak berusia enam tahun terbabit dihantar ke Hospital Ranau sebelum kakitangan hospital menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.49 petang dan dua anggota dikerah ke lokasi.

"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati lidah dan mulut mangsa kanak-kanak itu tersekat pada botol minuman namun tidak mengalami kecederaan serius.

"Pasukan bomba bertindak memotong dan menanggalkan objek berkenaan dengan menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi berjaya diselesaikan selepas mengambil masa kurang 10 minit bagi memotong objek yang diperbuat bahan plastik.

"Operasi ditamatkan pada 3.40 petang dan kes diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 9:58 PM