Gambar hiasan
Gambar hiasan
Norizuan Shamsuddin


KANAK-KANAK perempuan berusia 12 tahun diperdaya sebelum dicabul oleh sepupunya dalam kejadian di Kampung Belukar Jambu di Kuala Terengganu pada Khamis lalu.

Menurut sumber, mangsa dikatakan didatangi oleh sepupu lelakinya berusia lingkungan 20-an yang tinggal berdekatan rumahnya kira-kira 1 petang.

“Pada mulanya, lelaki terbabit meminta mangsa membelikan air di kedai berhampiran dan mengarahkan kanak-kanak itu untuk hantar minuman terbabit ke rumahnya.

“Ketika menghantar minuman itu, lelaki berkenaan meminta mangsa masuk ke dalam rumah terbabit dan memintanya supaya mencuba sehelai baju baru yang ingin dihadiahkan kepada kanak-kanak berkenana.

“Sewaktu mangsa mencuba baju terbabit, lelaki berkenaan secara tiba-tiba menerkam kanak-kanak berkenaan sebelum mengikat kaki dan tangan serta menutup mata mangsa,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan kemudiannya mencabul mangsa dan menyumbatkan sesuatu di dalam mulut kanak-kanak berkenaan.

Katanya, mangsa yang ketakutan tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa menuruti arahan lelaki itu.

“Dalam keadaan mata ditutup, lelaki didakwa memasukkan sesuatu objek ke dalam mulut kanak-kanak berkenaan hingga mangsa termuntah.

“Bagaimanapun, lelaki berkenaan segera membuka semua ikatan selepas terdengar suara ibu kanak-kanak terbabit di luar rumah.

“Lelaki itu yang terkejut segera melarikan diri dan mangsa kemudiannya menceritakan kejadian terbabit kepada ahli keluarganya,” katanya.

Menurut sumber, ahli keluarga mangsa segera membuat laporan di Balai Polis Chendering untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenainya dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 5:45 PM