ANGGOTA bomba memotong paip PVC bagi mengeluarkan tangan kanak-kanak perempuan yang tersekat. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memotong paip PVC bagi mengeluarkan tangan kanak-kanak perempuan yang tersekat. FOTO Ihsan Bomba
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Seorang kanak-kanak perempuan berdepan detik cemas apabila tangannya tersekat pada paip polivinil klorida (PVC) penyambung ke pam penyedut air kolam mandi.

Kejadian berlaku kira-kira 5 petang ketika mangsa mandi bersama ahli keluarganya di kolam itu di sebuah resort di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, di sini.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Isharudin Ishak berkata, pihaknya dimaklumkan, ketika kejadian mangsa secara tidak sengaja memasukkan tangan ke dalam saluran paip sepanjang satu meter itu.

"Pemilik resort datang membantu dan memotong paip itu sebelum keluarga mangsa membawanya ke ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah pada 5.15 petang tadi.

"Pasukan bomba mengambil masa 34 minit untuk mengeluarkan tangan mangsa yang melecet sedikit akibat kejadian," katanya ketika dihubungi.

Katanya, pihaknya difahamkan mangsa dan keluarganya datang bercuti sempena cuti sekolah dari Kuala Lumpur di resort terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 9:16 PM