PASUKAN bomba memotong sesendal skru pada jari kanak-kanak terbabit. FOTO IHSAN JBPM
PASUKAN bomba memotong sesendal skru pada jari kanak-kanak terbabit. FOTO IHSAN JBPM
Recqueal Raimi


Kota Marudu: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan selepas sesendal skru atau 'washer screw' yang dipakainya tersekat pada jari manis tangan kanan di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, kanak-kanak berusia lapan tahun itu dikejarkan ke Hospital Kota Marudu sebelum kakitangan hospital kemudiannya menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 9.01 malam dan seramai lima anggota dikerah ke lokasi.

"Sebaik tiba, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan mangsa dan mendapati jari manis pada tangan kanannya membengkak serta mengalami luka kecil.

"Pasukan bomba bertindak memotong dan menanggalkan objek berkenaan dengan menggunakan peralatan 'Mini Grinder'," katanya dihubungi hari ini.

Menurutnya, operasi berjaya selepas mengambil masa kurang 40 minit bagi memotong objek yang diperbuat daripada besi terbabit.

"Operasi ditamatkan pada jam 10 malam dan kes diserahkan kepada pihak perubatan hospital untuk rawatan lanjut kepada mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 8:45 AM