GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Gombak: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menukar bungkusan atau label beras Super Spesial Tempatan (SST) kepada Super Spesial Import (SSI) untuk menipu rakyat bagi mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.

Bagaimanapun Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya belum merekodkan kes seumpama itu, namun peringatan perlu diberikan supaya tiada pihak tidak mengambil kesempatan.

Menurutnya, sekiranya berlaku kes, tindakan undang-undang akan diambil kepada pihak yang didapati melakukan perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).

Katanya, selain itu, tindakan juga boleh diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat kesalahan kenyataan palsu mengenai gred beras mengikut Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras (Akta 522).

"Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengingatkan semua pengilang, pemborong dan peruncit supaya mematuhi perundangan ditetapkan.

"Ia termasuk tidak melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras SST kepada SSI dan dijual pada harga jualan runcit beras SSI," katanya pada Kolaborasi Bersepadu OP Jamin KPKM dan KPDN di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood dan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam.

Salahuddin berkata, pihaknya juga menjamin tiada kenaikan harga beras SST kerana ia di bawah harga kawalan maksimum iaitu RM2.60 sekilogram mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

"Bagaimanapun, kerajaan tidak mengawal harga beras SSI dan terpulang kepada rakyat untuk memilih beras untuk dimakan mereka," katanya.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya melalui Kawal selia Padi dan Beras KPKM setakat ini belum menerima aduan rasmi membabitkan kes penukaran kampit beras.

Katanya, bagaimanapun dalam OP Jamin selama sebulan ini pihaknya akan melakukan pemantauan termasuk memastikan isu berkenaan tidak berlaku di 162 kilang komersial memproses beras SST di seluruh negara.

"Untuk kenaikan harga beras ini daripada RM26 kepada RM26. 60 juga kita merekodkan satu kes di Selangor dan susulan itu tindakan termasuk pendakwaan sudah dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 5:26 PM