SEBANYAK 1.95 metrik tan beras yang diragui sumbernya dirampas di Klang hari ini. FOTO Ihsan MAFI
SEBANYAK 1.95 metrik tan beras yang diragui sumbernya dirampas di Klang hari ini. FOTO Ihsan MAFI
Muhaamad Hafis Nawawi


LAGI beras diragui sumber dirampas. Kali ini 1.95 metrik tan beras disita penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Klang hari ini.

Ia susulan Op Smuggle yang diadakan semalam selepas menerima aduan daripada orang ramai mengenai penjualan beras yang tidak sah sumbernya di pasaran.

Ketua Pengarah Industri Padi Beras Azman Mahmood berkata, dalam serbuan di sebuah restoran, pihaknya menyita beras bernilai hampir RM10,000 berkenaan yang dibawa masuk dari India sejak 10 tahun lalu.

Katanya, ia digunakan di restoran serta rumah ibadat bukan Islam dan ketika ditahan, pemilik gagal menunjukkan dokumen berkaitan.

"Semua beras bergred super import dari India yang dipercayai beras dari sumber tidak sah. Pemilik tidak dapat mengemukakan apa-apa dokumen pembuktian belian dan jualan beras.

"Pemilik juga tidak mempunyai Lesen Borong yang sah yang mana ia melanggar peraturan mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522).

"Beras berkenaan disita dan dibawa balik ke Kawal Selia Padi Beras Ibu Pejabat Putrajaya untuk siasatan lanjut," katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan penguat kuasa KPB merampas hampir tiga metrik tan beras dalam tiga serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Klang berjumlah RM22,000.

Ia dipercayai dibawa masuk bersama peralatan sembahyang bagi mengaburi mata pihak berwajib sebelum sampai ke restoran di Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 8:50 PM