CHE Dan Teh menunjukkan rumahnya yang musnah dalam kebakaran. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
CHE Dan Teh menunjukkan rumahnya yang musnah dalam kebakaran. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
Mohd Sharumnisham Shahbudin


Kodiang: Pesara tentera kerugian kira-kira RM100,000 selepas rumahnya di Kampung Damai, Mukim Keplu, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian 4 pagi itu, Che Dan Teh, 64, dan isteri, Hasnah Hassan, 60, tiada di rumah kerana bermalam di rumah saudaranya di Kampung Jelempok, Arau, Perlis.

Che Dan berkata, dia hanya menyedari kebakaran itu selepas menerima panggilan daripada anak saudara yang tinggal bersama di rumah itu memberitahu kejadian itu sebelum dia bergegas pulang.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah, api sudah marak dan tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.

"Mujur anak saudara saya bersama isteri dan dua anaknya sempat keluar dari rumah itu dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kemungkinan berlaku litar pintas menyebabkan rumah ini musnah tambahan pernah dipanah petir pada Disember tahun lalu menyebabkan meter elektrik meletup," katanya ketika menerima kunjungan Pegawai Khas Ahli Parlimen Jerlun, Izhar Azimat, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Nurhafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.47 pagi dan dua pegawai serta 17 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam dan BBP Kubang Pasu dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba pada 5.17 pagi, api didapati sedang marak dan usaha memadamkan kebakaran dijalankan dengan bantuan lima anggota Pasukan Bomba Sukarela Kodiang.

"Api dipadam sepenuhnya pada 7.27 pagi dan punca kebakaran dan nilai kerugain masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 4:26 PM