GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kanser kepala dan leher dikenal pasti antara penyakit kanser kelima tertinggi yang dihidapi oleh penduduk di negara ini serta Asia Tenggara.

Pensyarah Perubatan Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Irfan Mohamad berkata, kanser kepala dan leher kurang 'popular' berbanding kanser paru-paru, payudara, limfoma, leukemia mahupun kanser usus.

Katanya, kebiasaannya kanser kepala dan leher membabitkan kawasan bibir, mulut, lelangit, hidung, farinks, larinks dan telinga serta kawasan kelenjar air liur utama parotid dan submandibular.

"Faktor terbesar yang boleh dicegah ialah amalan merokok dan pengambilan alkohol kerana interaksi kedua-duanya memberikan kesan bersifat sinergistik.

"Tanda-tanda mengalami kanser kepala dan leher ialah bengkak pada leher atau anggota yang terbabit, ulser melebihi dua minggu, pendarahan hidung yang lambat berhenti kecuali ada penyebab seperti trauma, sukar bernafas akibat penyempitan saluran pernafasan, sukar atau sakit semasa menelan.

"Selain itu, mata kabur, gigi mudah tanggal atau gusi membengkak, hidung tersumbat, telinga bernanah dan berdarah, perubahan pada suara, batuk berdarah, juling bukan semulajadi serta sakit kepala berterusan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, bagi membantu pesakit yang menghidapi kanser kepala dan leher, strategi rawatan perlu dibuat mengikut tahap dan kesesuaian individu berkenaan.

Katanya, walaupun pembedahan adalah kaedah utama bagi rawatan kanser kepala dan leher kecuali bagi kanser nasofarinks dan larinks, kaedah paling sesuai bergantung kepada tahap kanser berkenaan.

"Selain itu, faktor kesihatan dan kesediaan pesakit amat penting dalam memberi komitmen terhadap proses rawatan yang mungkin perlu dilaluinya seumur hidup.

"Bagaimanapun, pencegahan, pengesanan awal, komitmen kepada rawatan dan pemantauan berkala amat penting bagi memastikan kelestarian hidup pesakit yang diuji dengan penyakit kanser ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 12:55 PM