PAPARAN digital 'welcome home' (selamat pulang) menyambut ketibaan rakyat Malaysia di Tambak Johor apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka 12 tengah malam 1 April 2022. FOTO Bernama
PAPARAN digital 'welcome home' (selamat pulang) menyambut ketibaan rakyat Malaysia di Tambak Johor apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka 12 tengah malam 1 April 2022. FOTO Bernama
Omar Ahmad.


Johor Bahru : "Memang pengalaman yang amat memeritkan apabila terpaksa berpisah sementara dengan anak yang baru berusia dua bulan ketika itu.

Demikian luahan seorang ibu yang melalui detik sukar berpisah dengan insan tersayang susulan penutupan sempadan Malaysia-Singapura akibat pendemik Covid-19 hampir dua tahun.

Sharifah Noor Areej Syed Mohammad, 31, antara 400,000 rakyat Malaysia yang sebelum ini berulang alik mencari rezeki di negara jiran, Singapura sejak tiga tahun lalu.

Bercerita lanjut pengalaman sedih itu, dia dan suami, Muhammad Fithrah Roski, 35, mengambil keputusan itu kerana dia memiliki kerja tetap di Singapura berbanding suami yang masih dalam kontrak kerja pada ketika itu.

"Semasa disahkan mengandung di Singapura, saya sudah berbincang dengan suami mengenai perkara ini. Saya bersalin di Johor dan menghabiskan cuti pantang selama tiga bulan (sebulan tidak bergaji).

"Semasa permulaan selepas masuk semula bekerja di Singapura, hampir setiap hari saya menangis rindukan anak kami, Shaikh Muhammad Fathullah.

"Alhamdulillah suami banyak beri sokongan dan motivasi kepada saya, meminta saya bersabar dan ini (sempadan buka) adalah hadiah berkat kesabaran saya.

"Buat permulaan ini saya akan balik setiap minggu dan berharap boleh kembali berulang seperti dulu. Saya sanggup berulang memang itu yang kita mahukan, kami sanggup hadap jalan sesak berjam-jam, bangun tidur awal asalkan dapat pulang bersama keluarga, kerana di sana ada rezeki kami," katanya ketika ditemui di JB Sentral di sini, hari ini.

SHARIFAH Noor Areej Syed Mohammad. FOTO Omar Ahmad
SHARIFAH Noor Areej Syed Mohammad. FOTO Omar Ahmad

Sementara itu, pekerja sektor perkhidmatan, Mohd Seturan Habullah, 49, berkata, ini adalah kepulangan pertamanya selepas dua tahun di negara jiran.

Beliau mengakui tidak dapat melelapkan mata malam tadi kerana terlalu teruja dan gembira mahu bertemu keluarga terutama anak bongsu yang berusia 15 bulan.

"Saya sudah 15 tahun bekerja. Ketika masuk bekerja di Singapura sebelum sempadan ditutup, saya meninggalkan isteri, Noraini Ishak, 38, yang baru bersalinkan anak perempuan berusia seminggu.

"Saya teruja mahu pulang ke negara sendiri kerana sempadan telah dibuka. Sepatutnya saya pulang menaiki motosikal tetapi kerana ada masalah autopass, saya ambil keputusan berjalan kaki demi keluarga.

"Perkara pertama saya mahu lakukan tentulah bersama isteri dan lima anak dengan membawa mereka keluar makan bersama sebelum Ramadan.

"Saya ambil cuti hari ini, jadi esok saya akan pulang semula bekerja dan menyelesaikan masalah autopass motosikal, kemudian saya akan berulang seperti dahulu," katanya yang menetap di Johor Jaya.

MOHD Seturan Habullah. FOTO Omar Ahmad
MOHD Seturan Habullah. FOTO Omar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 11:41 AM