Aliff pernah menziarahi Allahyarhamah Sharifah Noor di Singapura selepas pemergian arwah ibunya, beberapa tahun lalu.
Aliff pernah menziarahi Allahyarhamah Sharifah Noor di Singapura selepas pemergian arwah ibunya, beberapa tahun lalu.
Raja Nurfatimah Mawar Mohamed


Kuala Lumpur: Ibu kepada Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini iaitu Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas, 88, meninggal dunia akibat penyakit radang paru-paru di sebuah hospital di Singapura, awal pagi ini.

Berita pemergian arwah Sharifah Noor disahkan cucunya, Aliff Omar Ali kepada BH Online.

Aliff berkata, arwah neneknya menghembuskan nafas terakhir di hospital, awal pagi ini.

"Saya diberitahu arwah menghidap penyakit radang paru-paru dan dimasukkan ke hospital, sebelum menghembuskan nafas terakhir, hari ini.

"Saya sudah lama tidak menemui arwah yang menetap di Singapura, tetapi sentiasa berhubung menerusi panggilan video untuk bertanya khabar.

"Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan insan beriman serta beramal soleh," kata Aliff menerusi mesej aplikasi WhatsApp.

Allahyarhamah Sharifah Noor menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Singapura, awal pagi ini. FOTO NSTP
Allahyarhamah Sharifah Noor menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Singapura, awal pagi ini. FOTO NSTP

Sementara itu, rakan baik arwah Sharifah Aini, Rosman Jasmi berkata, dia bersama Aliff, isteri, anak serta keluarga mentua Aliff pernah ke Singapura menziarah arwah Sharifah Noor pada Aidilfitri, beberapa tahun lalu.

"Kami melawat arwah yang menetap bersama suami, Musa Baba dan anak-anaknya selepas pemergian arwah Sharifah Aini, beberapa tahun lalu.

"Secara kebetulan, Aliff baru sahaja menimang cahaya mata pertama, jadi mahu memperkenalkan cicit sulung kepada arwah dan keluarga di Singapura," katanya.

Rosman berkongsi, sebelum ini, arwah pernah ditimpa kemalangan menyebabkannya cedera dan patah.

"Arwah selalu berulang-alik ke masjid dengan menaiki bas.

"Satu hari, bas dinaiki mendapat kemalangan. Arwah yang berada dalam bas terjatuh dan cedera. Keadaannya agak teruk kerana ada anggota badan yang patah.

"Sejak itu, keadaan kesihatan arwah mula merosot," katanya.

Rosman berkata, dia terkejut mendapat perkhabaran pemergian arwah pada subuh tadi.

"Sebenarnya, keadaan arwah sudah tidak sihat sejak pemergian arwah Sharifah Aini.

"Arwah memberitahu saya keadaannya uzur ketika menghadiri majlis pengebumian arwah Sharifah Aini, lapan tahun lalu. Malah, arwah pengsan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

"Beliau tidak menyangka arwah Sharifah Aini pergi dahulu, memandangkan dirinya yang uzur dan sakit tua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 2:10 PM