Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan Johor akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan Malaysia-Singapura, terutama membabitkan pekerja Malaysia yang akan berulang-alik.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata, jawatankuasa itu akan ditubuhkan dalam masa terdekat sebagai pemudah cara pelaksanaan SOP rentas sempadan.

"Pagi ini, saya akan bersama semua agensi termasuk Jabatan Sumber Manusia bagi mendengar dan meneliti apa jua SOP berkaitan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura.

"Akan ada jawatankuasa khas yang akan diwujudkan untuk mengurus dan melaksana SOP bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi berkaitan yang lain," katanya.

TAMBAK Johor. FOTO Arkib NSTP
TAMBAK Johor. FOTO Arkib NSTP

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program ziarah pusara dan gotong-royong peringkat Johor di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kurnia di Jalan Kebun Teh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd Hafiz Ahmad dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Belia, Sukan dan Sukarelawan) Datuk On Jabbar@Jaafar.

Dalam pada itu, Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Larkin berkata, beliau juga akan mengeluarkan kenyataan berkaitan SOP rentas sempadan sebaik ia sudah dimuktamadkan kerajaan Pusat nanti.

"Saya akan memberi kenyataan nanti berkaitan SOP lengkap rentas sempadan bagi membolehkan ia diuar-uarkan dengan lebih meluas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 11:39 AM