ANTARA PATI yang ditahan menerusi rondaan Ops Nyah 1 Selangor, semalam. FOTO Ihsan IPD KUALA LANGAT
ANTARA PATI yang ditahan menerusi rondaan Ops Nyah 1 Selangor, semalam. FOTO Ihsan IPD KUALA LANGAT
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Seramai 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun ditahan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih semasa rondaan Op Nyah 1 Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata tangkapan pertama membabitkan 11 PATI warga Indonesia termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang ditahan dalam paya bakau di kawasan Pantai Long Beach, Morib ketika rondaan dilakukan pada jam 12.30 tengah malam.

"Semakan mendapati kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen pengenalan yang sah.

"Hasil dari soal siasat yang dilakukan membawa kepada serbuan dan tangkapan ke sebuah rumah inap di kawasan Banting yang mana 41 orang warganegara Indonesia dan Bangladesh ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen diri yang sah.

"Siasatan awal menunjukkan tiga lelaki warga Indonesia yang turut berada di rumah itu dipercayai berperanan sebagai tekong yang menguruskan perjalanan mereka masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua PATI yang ditahan berusia dalam lingkungan 5 hingga 50 tahun dan dipercayai membayar antara RM2,000 hingga RM4,500 untuk masuk ke negara ini.

Katanya, PATI berkenaan dipercayai akan bekerja di pelbagai sektor terutamanya ladang dan pembinaan sekitar Pahang, Kuala Lumpur serta Selangor.

Jelasnya, tindakan akan turut diambil terhadap pemilik rumah inap kerana kediamannya dijadikan rumah penampungan bagi PATI.

"Kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan seterusnya dan kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 1:27 PM