USTAZ Suhaimi Samad (kiri) dan ustaz Ahmad Sabri Noh bersedia menjawab sebarang pertanyaan daripada jemaah menggunakan e-Taib.
USTAZ Suhaimi Samad (kiri) dan ustaz Ahmad Sabri Noh bersedia menjawab sebarang pertanyaan daripada jemaah menggunakan e-Taib.
Husain Jahit


Makkah: Hampir 9,000 pertanyaan diterima oleh talian e-Taib iaitu talian ibadah sejak diperkenalkan Lembaga Tabung Haji (TH) tahun lalu bagi memudahkan orang ramai terutamanya bakal-bakal haji yang bukan sahaja berada di Tanah Suci atau di Malaysia.

Pengarah Operasi Bimbingan (TH), Shahrin Awaludin berkata, tahun ini sahaja (sehingga kelmarin), e-Taib sudah menerima 115 pertanyaan daripada jemaah haji yang kebanyakannya tertumpu kepada persoalan mengenai larangan ihram dan fiqh wanita termasuk haid.

"Seramai 40 orang pasukan Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci atau PIHTAS, iaitu 30 orang di Makkah dan 10 orang di Madinah sentiasa bersedia 24 jam untuk menjawab soalan-soalan dikemukakan sama ada secara fizikal atau melalui e-Taib dengan segera," katanya kepada Petugas Media TH di ibu pejabat TH di sini, kelmarin.

Sistem e-Taib yang ada di dalam aplikasi THhujjaj membolehkan jemaah mengajukan sebarang persoalan menggunakan telefon pintar mereka seperti sistem pesanan WhatsApp kepada PIHTAS.

"Jika dahulu jemaah akan berjumpa PIHTAS di maktab tetapi sejak kita wujudkan sistem e-Taib, tidak perlu lagi beratur panjang jika hendak berjumpa dengan guru pembimbing atau PIHTAS," katanya lagi.

USTAZAH Zaimah Mohd Zain menjawab secara langsung dengan jemaah melalui talian e-Taib. FOTO Husain Jahit
USTAZAH Zaimah Mohd Zain menjawab secara langsung dengan jemaah melalui talian e-Taib. FOTO Husain Jahit

Beliau memberi jaminan setiap pertanyaan yang diajukan akan cuba diselesaikan dalam tempoh kurang lima minit dan paling lama mengambil masa 24 jam, jika membabitkan persoalan yang rumit bagi membolehkan pihaknya mendapat pandangan pakar.

Menurut Shahrin, pasukan ini yang terdiri daripada pakar rujuk, guru-guru agama termasuk kaunselor yang akan menjawab persoalan dan isu yang mengganggu jemaah untuk menyempurnakan ibadah haji mereka.

"Pasukan ini turut dibantu oleh tiga orang pakar rujuk iaitu ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim), malah seorang daripada pakar rujuk kita adalah Mufti Selangor Datuk Prof Madya Anhar Opir," katanya lagi.

Sementara itu, dalam era ledakan teknologi maklumat ketika ini katanya, antara cabaran pasukan bimbingan ini adalah untuk meningkatkan keberkesanan kursus dan juga untuk meminimumkan gangguan sosial media yang mengalih tumpuan jemaah untuk beribadah.

"Kita selalu beritahu dalam kursus bahawa haji ini adalah ibadah yang perlukan fokus, kalau berubah niat dalam tawaf pun tidak sah.

"Seperti bergambar, bukan kita tidak bagi, tetapi sewaktu mengerjakan rukun dan wajib haji, jemaah perlu fokus kepada ibadah, mudah-mudahan ini dapat membantu jemaah untuk mendapat haji yang mabrur, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 7:56 AM