KHAIRY ketika sidang media di Dewan Serbaguna. FOTO Eizairi Shamsudin
KHAIRY ketika sidang media di Dewan Serbaguna. FOTO Eizairi Shamsudin
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan diwujudkan di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksinasi dos penggalak.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, PPV integrasi dengan kapasiti yang lebih besar sudah dikenal pasti dan akan beroperasi pada 15 Januari ini.

"PPV Integrasi yang akan beroperasi ialah PPV World Trade Centre (WTC) di Kuala Lumpur; PPV Axiata Arena di Bukit Jalil; PPV IDCC di Shah Alam dan PPV Soka Gakkai di Klang.

"Semua aktiviti pemberian dos penggalak akan dilakukan melalui janji temu yang diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).

"Namun individu boleh menghubungi PPV-GP yang disenaraikan di dalam laman sesawang ProtectHealth untuk mendaftar di dalam senarai menunggu klinik berkenaan," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Mengulas berhubung Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI), beliau berkata, sistem pelaporan AEFI Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menerima sejumlah 24,042 laporan AEFI termasuk 812 laporan membabitkan dos penggalak vaksin Covid-19.

"Kadar pelaporan AEFI bagi dos penggalak direkodkan pada 0.14 bagi setiap 1,000 dos berbanding kadar pelaporan AEFI keseluruhan 0.42 per 1,000 dos. Demam, kesakitan pada tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan, adalah antara kesan advers yang paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin.

"Daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak ini, hanya 38 laporan (atau 4.91%) yang diklasifikasikan sebagai serius bersamaan kadar 0.007 laporan bagi setiap 1,000 dos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 5:46 PM