MOHD Mazlan melakukan ujian kecergasan sebahagian burung milik pelanggan supaya berada dalam keadaan sihat.
MOHD Mazlan melakukan ujian kecergasan sebahagian burung milik pelanggan supaya berada dalam keadaan sihat.

Kota Bahru: Kemerduan suara burung merbah jambul atau candik amat mengasyikkan, malah ramai sudah mengetahui mengenai pertandingan mencari keunikan suara unggas itu di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Bagi peminat burung berkenaan di sekitar ibu negeri ini, mereka mempunyai sebuah 'pusat asuhan' khusus untuk menghantar burung peliharaan masing-masing sebelum menyertai sebarang pertandingan.

Sejak lebih 10 tahun lalu, menjadi rutin harian Mohd Mazlan Ya, 61, berkhidmat sebagai pengasuh kepada ratusan ekor si candik yang dihantar oleh penggemar burung itu ke kedai burung miliknya di Bazar Tengku Anis di sini.

"Saya buka kedai sekitar 7.30 pagi dan dalam tempoh itu rakan akan menghantar burung merbah jambul atau candik milik mereka kepada saya.

"Kebanyakan pemilik ini bekerja di sekitar Kota Bharu, jadi mereka tinggalkan si candik di sini hingga habis waktu bertugas kira-kira jam 5 hingga 6 petang. Jadi sepanjang tempoh itu, saya akan memandikan, membersihkan sangkar, menjemur dan memberi makan kepada burung itu.

MOHD Mazlan (kiri) bersama Mohd Arif menunjukkan sebahagian burung candik milik pelanggan di Bazar Tengku Anis.
MOHD Mazlan (kiri) bersama Mohd Arif menunjukkan sebahagian burung candik milik pelanggan di Bazar Tengku Anis.

"Faktor paling penting yang menjadikan tempat (kedai) saya ini sebagai pilihan utama mereka kerana saya akan mengadu suara burung candik sebab setiap hari ada hampir 30 ekor di kedai ini," katanya.

Mohd Mazlan yang mesra dengan panggilan Abe Lan dalam kalangan peminat si candik berkata, terdapat dua kategori burung itu yang diasuh di kedainya yang beroperasi dari Sabtu hingga Rabu.

"Kategori pertama, burung 'main' yang sudah biasa menyertai pertandingan dan sedia untuk beradu. Kategori kedua ialah burung reban yang masih baru dan perlu diasuh sebelum menyertai pertandingan.

"Sebab itu saya akan buka kedai bermula Sabtu hingga Rabu kerana burung ini perlu berehat pada Khamis sebelum menyertai pertandingan pada keesokan harinya (Jumaat)," katanya.

MOHD Mazlan memeriksa burung candik supaya sentiasa berada dalam keadaan baik.
MOHD Mazlan memeriksa burung candik supaya sentiasa berada dalam keadaan baik.

Lebih istimewa, Abe Lan langsung tidak mengenakan sebarang bayaran kepada rakan yang meninggalkan si candik untuk diasuhnya.

"Tak ada sebarang bayaran, semuanya percuma. Mungkin itu faktor saya dan tempat ini dipilih sebagai pusat asuhan si candik.

"Bagaimanapun, sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada saya, rakan akan membeli makanan burung yang dijual di kedai ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seni Suara Burung Candik Kelantan, Mohd Arif Mohd Yaacob, 55, berkata, burung candik perlu dibiasakan dengan keadaan persekitaran sebelum menyertai pertandingan.

"Di kedai milik Abe Lan ini, ada disediakan tempat khusus untuk menggantung sangkar burung candik. Ada hampir 30 ekor burung dalam satu-satu masa, persekitaran seakan pertandingan akan membiasakan unggas sebelum menyertai pertandingan sebenar.

"Ini penting kerana kita mahu burung biasa dengan persekitaran dan tidak takut dengan kehadiran orang ramai," katanya sambil menambah empat kriteria iaitu galak, gaya, air suara dan hujung suara akan dinilai semasa pertandingan unggas berkenaan.

 BURUNG candik diletakkan dalam sangkar dan disangkut pada penyangkut tiang sebelum digantung di bawah sinaran matahari.
BURUNG candik diletakkan dalam sangkar dan disangkut pada penyangkut tiang sebelum digantung di bawah sinaran matahari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 6:45 AM