ABDUL Rashid melihat gelagat burung merbuk dalam sangkar.
ABDUL Rashid melihat gelagat burung merbuk dalam sangkar.
Hafiz Ithnin


"Saya ada lebih 100 ekor burung," jelas lelaki berusia 70 tahun ini kepada penulis. Terkedu, apabila mendengar jumlah burung yang dimilikinya.

Bagi Abdul Rashid Abdul Syukur, pelbagai jenis unggas dengan jumlah itu memberi ketenangan tersendiri. Apatah lagi pelbagai nada siulan pada sebelah pagi menjadi halwa telinga.

Abdul Rashid yang memelihara pelbagai jenis burung antaranya merbok siam, tekukur, murai kampung, tiong vietnam, minang kerbau, tiong kuning, nuri dan pipit jawa.

Katanya, dia mula memiliki dua burung merbok pada 20 tahun lalu untuk menyertai pertandingan. Bermula dari itu, dia mula 'ketagih' memiliki pelbagai jenis burung.

"Saya tidak suka memikat burung. Biasanya saya membeli atau bertukar dengan kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama.

"Burung ini mempunyai nilai tersendiri. Jika ia mempunyai suara yang merdu, harga yang ditawarkan mampu mencecah ribuan ringgit," katanya.

NURI antara yang dimiliki Abdul Rashid.
NURI antara yang dimiliki Abdul Rashid.

Jelasnya, paling banyak burung yang dimilikinya adalah terkukur dan merbok masing-masing 10 serta 15 ekor. Malah, dia juga mempunyai nuri baka dari Australia.

"Burung paling mahal yang saya miliki sudah tentu merbuk siam yang dibeli pada RM500 seekor dan ia boleh menjadi lebih mahal jika dilatih untuk mempunyai suara yang merdu.

"Saya pernah ditawarkan untuk menjual seekor burung merbok pada harga yang agak lumayan, tetapi menolaknya kerana burung itu mempunyai nilai peribadi," katanya.

Abdul Rashid memelihara semua burungnya dalam sangkar kecil dan besar. Malah, amat menitikberatkan mengenai isu kesihatan haiwan kesayangannya.

MEMILIKI haiwan kesayangan beri ketanangan kepada Abdul Rashid.
MEMILIKI haiwan kesayangan beri ketanangan kepada Abdul Rashid.

"Walaupun burung yang saya miliki ini disimpan dalam sangkar, tetapi dari segi kesihatan, kita tidak boleh pandang remeh.

"Jadi, perkara pertama yang perlu dititikberatkan adalah mengenai kebersihan dalam sangkar itu sendiri. Membersihkan sangkar perlu menjadi rutin kerana saya tidak mahu burung peliharaan sakit dan membawa penyakit kepada saya sebagai pemilik," katanya.

Jelasnya, dia juga amat menitikberatkan diet untuk burung peliharaannya yang mana makanan jenis sabo dan dedak premium menjadi pilihan.

"Selain makanan, saya juga tidak memberi minum air paip kepada burung-burung ini kerana khuatir klorin boleh memberi kesan kepada kesihatan mereka. Jadi, saya hanya berikan air yang sudah melalui proses tapisan.

MEMANDIKAN burung menjadi rutin.
MEMANDIKAN burung menjadi rutin.

"Saya juga memberikan vitamin kepada burung-burung ini supaya terdapat makanan tambahan yang baik untuk kesihatan," katanya.

Katanya, dia membelanjakan hampir RM200 sebulan bagi kos membeli makanan dan vitamin. Namun, berasa puas kerana binatang kesayangannya tidak pernah berlaku kematian kerana penyakit.

Jelasnya, jika berlaku kematian kerana burung berkenaan sudah tua. Kebiasaannya jangka hayat antara 10 hingga 15 tahun.

"Saya juga memandikan burung-burung ini kerana burung perlu dimandikan sama ada jika dalam sangkar besar, jika hujan saya bagi mereka mandi air hujan.

PELBAGAI jenis burung dimiliki Abdul Rashid.
PELBAGAI jenis burung dimiliki Abdul Rashid.

"Jika dalam sangkar kecil, saya akan mandikan dengan menyemburkan air menggunakan botol semburan air kepada burung-burung berkenaan," katanya.

Katanya, membela burung memberi kepuasan secara peribadi kerana dia boleh melakukan aktiviti yang sihat pada usia 70 tahun.

"Apabila saya mempunyai komitmen untuk menjaga burung-burung ini, saya tidak langsung akan membersihkan sangkar supaya dalam keadaan bersih.

"Daripada duduk sahaja di rumah, pasti tidak baik untuk kesihatan diri. Mendengar siulan burung juga seperti terapi minda kepada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 7:01 AM