MOHD Firdaus bersama anak-anaknya memberi makan burung peliharaan di kediamannya di Taman Kenerak Jaya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Firdaus bersama anak-anaknya memberi makan burung peliharaan di kediamannya di Taman Kenerak Jaya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Muhamaad Razis Ismail dan Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Minat mendalam terhadap unggas mendorong seorang pemuda untuk membelanjakan puluhan ribu ringgit bagi memelihara pelbagai spesies burung di kediamannya di Taman Kenerak Jaya di sini.

Bermula 2009, Mohd Firdaus Abdullah, 39, mula aktif memelihara unggas dan kini memiliki lebih 70 burung pelbagai jenis seperti Cockatiel, Parrot Kelabu Afrika, Parakeet Ringneck India dan Jawa Spero yang dipelihara di sangkar seluas hampir 28 meter persegi.

Katanya, dia turut memiliki Lesen Menyimpan Hidupan Liar daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi sesetengah burung yang memerlukan kebenaran agensi berkenaan bagi tujuan pemeliharaan.

"Saya memiliki sepasang Parrot Kelabu Afrika yang dibeli pada harga RM8,000 selain lapan pasang Parakeet Ringneck India berharga RM2,000 sehingga RM11,000 sepasang bergantung kepada jenis warna pada badannya.

"Selain itu, saya juga memiliki 24 pasang Cockatiel yang turut menjadi perhatian pencinta burung tempatan kerana keunikan serta kecantikannya, selain menjadi tumpuan peminat unggas untuk dibawa bertanding.

"Ada antara burung ini memiliki surat beranak yang perlu dibayar sekitar RM100 sehingga RM800 bergantung kepada jenis burung selain perlu diperbaharui nombor lesen dengan Perhilitan berjumlah RM10 setahun," katanya ditemui di rumahnya.

PARROT Kelabu Afrika milik Mohd Firdaus. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PARROT Kelabu Afrika milik Mohd Firdaus. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mohd Firdaus yang juga bapa kepada empat anak berusia setahun sehingga 10 tahun mengakui mula 'jatuh hati' untuk memelihara unggas apabila arwah bapanya, Baharudin Yusof, membawa pulang burung Budgis pemberian saudara untuk dipelihara.

Bermula saat itu, dia mula berjinak-jinak memelihara burung, malah tidak kisah berhabis ribuan ringgit demi membeli unggas berkenaan.

"Antara alasan kenapa saya memilih haiwan unggas untuk dipelihara adalah kerana penjagaannya yang tidak rumit, malah hanya diberi makan sekali seminggu. Saya juga luangkan masa satu atau dua kali seminggu untuk membersihkan sangkar.

"Saya habiskan RM400 sebulan untuk kos penjagaan dan umpan seperti oat, gandum, dedak dan sekoil bagi memastikan kesemua unggas ini berada dalam keadaan sihat dan baik," katanya.

MOHD Firdaus bermain dengan burung peliharaan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Firdaus bermain dengan burung peliharaan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Menurut Mohd Firdaus, ada antara burung peliharaannya dibeli dari Thailand, Australia, Afrika dan India.

Ia diperoleh daripada pembekal yang memiliki ladang atau kedai haiwan yang berdaftar di bawah Perhilitan.

"Jika diikutkan, ada sahaja unggas dijual pada harga mampu milik yang dibawa melalui sempadan Thailand yang mana nilainya berlipat kali ganda lebih murah daripada pembekal berdaftar.

"Namun bagi saya, tindakan berkenaan tidak wajar. Bukan sahaja menyalahi undang-undang malah saya dimaklumkan, ia tidak berkualiti.

"Jika kita adalah pencinta haiwan sejati, pastinya kita mahu memelihara unggas ini secara sah serta memastikan hobi ini berkekalan," katanya.

BURUNG jenis Cockatiel dalam peliharaan Mohd Firdaus. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
BURUNG jenis Cockatiel dalam peliharaan Mohd Firdaus. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mohd Firdaus yang juga kakitangan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota Bharu bersyukur kerana minatnya itu turut disokong isteri, Adilah Aziz, 38.

Malah, Adilah juga tidak kekok membantunya dalam urusan penjagaan unggas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 7:01 AM