ANTARA individu ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan Polis
ANTARA individu ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Remaja antara lima penunggang motosikal ditahan polis selepas berlumba haram dan melakukan aksi berbahaya di Jalan Kuching di sini, tengah malam tadi.

Aktiviti kesemua lelaki berusia 16 hingga 21 tahun itu dikesan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur yang melakukan Operasi Samseng Jalanan di kawasan berkenaan.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pegawai dan anggota melihat lima lelaki itu menunggang secara berbahaya, melakukan aksi zig zag, roket dan Superman serta bersaing sesama sendiri.

"Bertindak atas pemerhatian itu, kesemua suspek berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Trafik Jalan Bandar untuk siasatan lanjut.

"Mereka akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Sarifudin berkata, JSPT Kuala Lumpur turut mengadakan Operasi Motosikal dan Operasi Pelbagai di kawasan terdapat aduan di sekitar pusat bandar sejak Jumaat sehingga awal pagi ini.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan sebanyak 343 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 11 motosikal disita mengikut Seksyen 64 APJ 1987 kerana mengubahsuai ekzos.

Beliau berkata, kesemua motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal.

"Dalam Operasi Pelbagai pula, seramai 10 lelaki berusia 27 hingga 69 tahun ditahan mengikut Seksyen 45(A) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Katanya, pihaknya akan terus meningkatkan operasi hujung minggu bagi membanteras isu samseng jalanan di Kuala Lumpur dan menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 9:36 AM