Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 19 individu ditahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol serta berlumba haram di sekitar ibu kota.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua individu itu ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan dan Operasi Pelbagai yang dijalankan pada Jumaat sehingga jam 4 pagi tadi.

Menurutnya, operasi dengan kekuatan 74 pegawai dan anggota itu menumpukan sekitar pusat bandar, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Pahang, Jalan Kuching, Jalan Parlimen dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

"Dalam Operasi Pelbagai, polis menahan 14 lelaki berusia 25 hingga 65 tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan akan dituduh mengikut seksyen sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi Operasi Samseng Jalanan yang diadakan di Lebuhraya NPE dan Jalan Parlimen, Sarifudin berkata, Unit Risikan dan Operasi JSPT Kuala Lumpur menahan lima lelaki yang menunggang secara merbahaya dengan melakukan aksi zig zag, roket, superman serta bersaing.

Beliau berkata, kesemua penunggang berusia 18 hingga 25 tahun terbabit turut dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987.

Katanya, secara keseluruhan sebanyak 333 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 17 motosikal disita mengikut Seksyen 64 APJ 1987 kerana mengubah suai ekzos.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 10:46 AM