SELAIN Hasni (kiri), Onn Hafiz (tengah) dan Mohd Puad (kanan) disebut-sebut bakal menjadi Menteri Besar Johor. FOTO NSTP
SELAIN Hasni (kiri), Onn Hafiz (tengah) dan Mohd Puad (kanan) disebut-sebut bakal menjadi Menteri Besar Johor. FOTO NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Dua nama disebut-sebut bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor selepas timbul ura-ura mengatakan Datuk Seri Hasni Mohammad bukan lagi pilihan tunggal mengisi jawatan kerusi panas berkenaan.

Teka-teki perlantikan mengisi jawatan itu kini turut beralih kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi, bekas Exco Belia dan Sukan Johor yang juga pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Machap dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi, pemenang Dun Rengit.

Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor seolah-olah turut mengesahkan khabar angin yang menyatakan ada nama lain bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19, selepas mengeluarkan kenyataannya berhubung perkara itu, hari ini.

Meskipun tidak menyebut mana-mana nama yang bakal mengisi jawatan itu, Hasni bagaimanapun mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor.

Hasni yang juga Pengerusi Umno Johor berkata, ia berikutan orang muda mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

"Melihat kepada sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri," katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu media melaporkan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap baginda.

Difahamkan ia susulan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin bagi membolehkan Menteri Besar Johor yang ke-19 dilantik sekali gus mengangkat sumpah.

Kelmarin, Hasni yang memenangi kerusi Dun Benut dilaporkan akan dicadangkan sebagai calon tunggal Menteri Besar untuk mendapat perkenan Sultan Johor.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno dilaporkan berkata, nama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu akan dikemukakan kepada baginda untuk pertimbangan selanjutnya.

Beliau dilaporkan tidak menyebut sebarang nama lain berkata, pencalonan tunggal sedemikian bertujuan memberi ruang kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan jaminan terhadap pelbagai usaha pembangunan yang ingin dirintis.

Pada PRN Johor yang berakhir kelmarin, Hasni menang dengan majoriti selesa lebih 5,000 undi mengatasi tiga pencabarnya di Dun Benut.

Pada 28 Februari 2020, Hasni sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 9:35 PM