Hasni Mohammad (tengah) ketika berucap pada sidang media semalam.
Hasni Mohammad (tengah) ketika berucap pada sidang media semalam.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Datuk Seri Hasni Mohammad dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19 selewat-lewatnya, Selasa ini.

Sumber Umno berkata, Datuk Seri Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor sudah mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, tengah malam tadi.

"Hasni mengadap Sultan Johor selepas majlis pengumuman kemenangan BN, bagi menyembah maklum kejayaan parti yang meraih 40 kerusi.

"Hasni turut menyembahkan surat akuan bertanda tangan semua 40 bakal ahli dewan undangan negeri (Adun) daripada BN yang sebulat suara menyokong beliau dilantik sebagai MB Johor yang ke-19.

"Majlis angkat sumpah dijangka diadakan selewat-lewatnya Selasa ini atau seawalnya esok, berikutan Rabu ini, Hasni dan kebanyakan pemimpin Umno negeri akan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang bermula 16 hingga 19 Mac," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Semalam, Hasni dilapor dicadangkan sebagai calon tunggal Menteri Besar untuk mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, nama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu dikemukakan kepada baginda untuk pertimbangan selanjutnya dan pencalonan tunggal sedemikian bertujuan memberi ruang kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan jaminan terhadap pelbagai usaha pembangunan yang ingin dirintis.

Hasni menang dengan majoriti selesa, lebih 5,000 undi mengatasi tiga pencabarnya di Dewan Undangan Negeri (Dun) Benut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir semalam.

Pada 28 Februari 2020, Hasni sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim, menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Bersatu yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-17 pada 14 April 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 5:52 PM