Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Beberapa kawasan di sekitar Cheras, di sini, dilanda banjir kilat susulan hujan lebat di sekitar Lembah Klang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, antara lokasi yang dilanda banjir kilat adalah Taska Ros Kani Jalan Br 2/12 dan susur PGRM yang mengakibatkan empat kenderaan awam tersangkut.

Katanya, laluan di Sunway Velocity Air, Jalan Tasek Selatan, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berhampiran Awan Besar di terowong Jalan Jalil Link dan laluan berhampiran simpang laluan masuk Balai Bukit Jalil turut dinaiki air.

"Di Jalan Chan Sow Lin pula, air naik sehingga ke paras lutut mengakibatkan kesesakan lalu lintas di lokasi.

"Di Pekan Salak South juga air naik sehingga paras lutut menyebabkan laluan di lokasi terbabit ditutup untuk kenderaan buat sementara waktu.

"Selain itu, di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) turut dinaiki air mengakibatkan lalu lintas di lokasi terbabit sesak.

"Di Lebuhraya Bukit Jalil pula, air naik sehingga ke Plaza Tol Awan Besar, namun laluan di lokasi berkenaan masih boleh dilalui," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Idzam berkata, pihaknya turut menerima laporan pokok tumbang di beberapa lokasi termasuk di Jalan Sri Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri.

"Selain itu, terdapat empat pokok tumbang di kawasan parkir HCTM yang menghempap 23 kereta dan 1 van yang diletakkan di lokasi terbabit.

"Pihak DBKL serta bomba sedang menjalankan kerja-kerja pengalihan pokok tumbang di lokasi berkenaan. Setakat ini, tiada kejadian tanah runtuh diterima setakat ini," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai di sekitar ibu negara supaya tidak keluar dari lokasi masing-masing sama ada di rumah mahupun di dalam bangunan memandangkan kebanyakan jalan sedang mengalami kesesakan akibat banjir kilat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 6:39 PM