DR Noor Azmi. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
DR Noor Azmi. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Laporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) atau pihak berkuasa sekiranya terdapat kit ujian pantas (RTK) Covid-19 yang diragui supaya tindakan dan siasatan segera dapat dilakukan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata, orang ramai dinasihat tidak mempercayai bulat-bulat pelbagai video di media sosial yang memaparkan keputusan RTK meragukan.

"Setiap RTK yang dikeluarkan perlu mendapatkan kelulusan dari Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), dan penjualan peranti itu tanpa kelulusan adalah satu kesalahan.

"Ia sama seperti penjualan sijil vaksinasi palsu dan tindakan berat boleh diambil kerana ia menggugat kepercayaan dan kesihatan orang ramai," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Yang Ke-60 tahun Pertubuhan Kebajikan Agama Islam dan Masyarakat Melayu Komuniti Bagan Serai di sini, hari ini.

Sementara itu Dr Noor Azmi menasihatkan penerima vaksin lengkap Sinovac agar segera mengambil dos penggalak dalam tempoh masa yang telah dilanjutkan hingga akhir bulan Mac ini.

Katanya, kegagalan berbuat demikian menyebabkan pergerakan seharian mereka terbatas disebabkan status dalam aplikasi di MySejahtera sudah berubah.

Beliau berkata, KKM boleh menggunakan Akta 342 terhadap mana-mana individu yang memasuki premis tanpa sijil digital lengkap vaksinasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 6:16 PM