GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah merekodkan penurunan jangkitan baharu Covid-19 dengan 1,778 kes semalam berbanding 2,131 kes, kelmarin.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun, berkata, jumlah itu adalah yang pertama di bawah 2,000 kes selepas kenaikan mendadak jangkitan bermula bulan lalu hingga lebih 5,000 kes.

"Kes hari ini (semalam) mencatat penurunan agak banyak menjadikan kes baharu di Sabah berada di bawah 2,000 berbanding hampir setiap hari melebihi angka itu sejak bulan lalu," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, Kota Kinabalu masih menjadi penyumbang utama kes harian dengan 511 kes semalam berbanding 677 kes, kelmarin.

"Secara keseluruhan, ada tanda-tanda ke arah penstabilan jumlah kes harian. Sebagai perbandingan 17 daerah mencatat penurunan jumlah kes baharu berbanding lapan daerah yang merekodkan pertambahan.

"Hanya tiga daerah mencatatkan kes baharu pada kadar tiga angka iaitu Kota Kinabalu sebanyak 511 kes, diikuti Penampang (206 kes) dan Tuaran (168 kes)," katanya.

Katanya, kes kematian akibat COVID-19 turut menunjukkan penurunan dengan tujuh kes berbanding 15 kes, kelmarin.

Bilangan pesakit sembuh juga tinggi dengan 3,325 orang semalam, manakala baki masih dirawat di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Katanya, 1,745 kes baharu dalam Kategori 1 dan 2, diikuti 11 pesakit dalam Kategori 3, manakala 13 kes Kategori 4 dan sembilan kes Kategori 5.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 10:45 AM