GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Selepas mencatat kenaikan mendadak semalam, kes positif Covid-19 di Sabah menunjukkan penurunan agak ketara iaitu sebanyak 109 kes kepada 513 kes, hari ini.

Semalam, sebanyak 622 kes direkodkan selepas mencatat kenaikan agak tinggi sebanyak 96 kes berbanding 526 kes, kelmarin.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, empat daerah menjadi penyumbang tertinggi kes di Sabah setiap hari turut mencatat penurunan ketara, hari ini.

Beliau berkata, daerah terbabit iaitu Kota Kinabalu, Ranau, Tuaran dan Kota Belud masing-masing mencatat penurunan sebanyak 37 kes, 14 kes, 31 kes dan 10 kes.

"Bagaimanapun, keempat-empat daerah terbabit masih menjadi penyumbang tertinggi kes harian dengan Kota Kinabalu merekodkan 72 kes, diikuti Ranau (51), Tuaran (48) dan Kota Belud (46).

"Satu kluster baharu iaitu Kluster Sawit Biru di Kinabatangan turut dilaporkan hari ini. Ia adalah kluster tempat kerja yang membabitkan kes indeks seorang pekerja pembersihan dan setakat ini, 14 orang disahkan positif Covid-19," katanya katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, secara keseluruhan 14 daerah merekodkan penurunan kes, manakala lapan daerah mencatat peningkatan kes di Sabah, hari ini.

Katanya, lima daerah pula mencatat jumlah kes sama seperti semalam manakala tiada kes baharu dilaporkan di Kunak, Tongod dan Kalabakan.

"Secara keseluruhan kes sporadik masih tinggi dengan 191 orang atau 37.2 peratus daripada 513 pesakit dilaporkan hari ini.

"Seramai 500 daripada 513 pesakit adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, iaitu tidak bergejala atau sekadar bergejala ringan.

"Pesakit dalam Kategori 3, Kategori 4 dan Kategori 5 pula masing-masing mencatat hanya dua kes hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 5:42 PM