GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kes harian Covid-19 di Sabah yang berubah-ubah setiap hari dipercayai ada kaitan dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, faktor itu dilihat antara sebab kes baharu Covid-19 di Sabah meningkat semula melebihi 1,000 kes semalam selepas mencatat tiga angka kelmarin.

"Sabah kembali mencatat peningkatan melepasi 1,000 kes setelah buat pertama kalinya mencatat angka jangkitan di bawah 1,000 semalam (kelmarin).

"Kes di Sabah berada pada paras melebihi 1,000 kes sehari selama hampir dua bulan sejak 4 Ogos lalu," katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Sabah mencatat 1,078 kes baharu Covid-19 semalam, menunjukkan peningkatan 116 kes berbanding 962 kes kelmarin.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah berkata, sebanyak 22 lagi kes kematian dilaporkan di Sabah semalam dengan jumlah tertinggi iaitu 10 kes dilaporkan di daerah Sandakan.

Selebihnya, beliau berkata, tiga kes di Tawau, dua kes di Kudat dan Kota Marudu, manakala masing-masing satu kes di Lahad Datu, Keningau, Nabawan, Penampang dan Kota Kinabalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 10:33 AM