GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Dua kluster baharu berkaitan jangkitan di tempat kerja menyebabkan kes Covid-19 melonjak lebih tujuh kali ganda di daerah Kinabatangan, semalam.

Daerah itu mencatat 107 kes berbanding hanya 15 kes kelmarin, menjadikan Kinabatangan daerah yang mencatat kes baharu Covid-19 tertinggi di Sabah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kinabatangan juga menjadi satu-satunya daerah mencatat kes tiga angka di Sabah, semalam.

Katanya, sebanyak 15 daerah lagi mencatat kes dua angka, diikuti 10 daerah mencatat kes satu angka, manakala satu daerah tidak mencatat sebarang kes baharu, iaitu Tongod.

"Peningkatan drastik jumlah kes di daerah Kinabatangan adalah berpunca daripada kewujudan dua kluster baharu iaitu Kluster Sungai Tabulion dan Kluster Sandau Sawit.

"Dua kluster ini sahaja menyumbang 82.2 peratus daripada kes yang direkodkan di Kinabatangan pada hari ini (semalam)," katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Kluster Tabulion mencatat 63 kes baharu, manakala Kluster Sandau Sawit mencatat sebanyak 25 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 28 kes.

Masidi berkata, kes indeks kedua-dua kluster adalah warga asing, iaitu pekerja pembersihan ladang kelapa sawit, wanita berumur 52 tahun bagi Kluster Tabulion, manakala lelaki berumur 30 tahun yang bekerja sebagai pemandu kilang di Kluster Sandau Sawit.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, kes harian Covid-19 di Sabah terus menunjukkan aliran penurunan dengan 677 kes semalam.

Jumlah itu katanya adalah catatan terendah sejak 24 Julai lalu hasil penurunan 90 kes berbanding 767 kes yang direkodkan kelmarin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 9:05 AM