GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
RoselanAb Malek


Lipis: Kadar kelahiran di Pahang sangat rendah, dan usaha untuk meningkatkan jumlah penduduk di negeri ini perlu dilakukan, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, mengikut data Jabatan Perangkaan pada 2020, kadar kelahiran hanya kira-kira 25,279 orang setahun.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri menaikkan bayaran Insentif Khas Pasangan Pengantin (IKPP) bagi perkahwinan kali pertama dari RM200 kepada RM 250 bagi pasangan pengantin anak Pahang berpendapatan RM5,000 ke bawah mulai tahun ini.

"Langkah ini akan memberi manfaat kepada hampir 14,000 pasangan pengantin di negeri ini.

"IKPP yang diperkenalkan sejak 2020 itu bertujuan menarik minat golongan belia untuk berkahwin, selain antara usaha kerajaan negeri membantu meringankan bebanan pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga," katanya.

Wan Rosdy berkata, perkahwinan mestilah didaftarkan di negeri Pahang dengan kebenaran Pejabat Agama Islam Daerah, bagi perkahwinan anak Pahang yang didaftarkan di luar negeri Pahang, pengantin perlu membuat permohonan dan pengesahan di Pejabat Agama.

Beliau berkata, ketika ini, kerajaan negeri belum berhasrat membuka insentif itu untuk pasangan yang berkahwin kali kedua dan seterusnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan Program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid) mulai tahun ini.

"Di bawah program ini, setiap bayi yang dilahirkan di Pahang menerima wang sagu hati RM 200 untuk pembelian barangan penjagaan bayi dan ibu ketika berpantang serta simpanan masa depan.

"Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi program ini," katanya.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan Kad Pelajar Kebanggaan Pahang sebagai persediaan kepada ibu bapa menghadapi sesi persekolahan baharu.

Katanya, pelajar yang layak akan menerima inisiatif ini yang mana sebanyak RM100 dikreditkan di dalam kad berkenaan untuk menampung pembelian barangan persekolahan.

Katanya, ia akan memanfaatkan 238,455 pelajar dari keluarga B40 dan M40 di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 10:35 AM