WAN Rosdy  bergambar kenangan bersama para hadirin pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan STPM 2021 dan Hal Ehwal Murid anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Pahang. FOTO BERNAMA
WAN Rosdy bergambar kenangan bersama para hadirin pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan STPM 2021 dan Hal Ehwal Murid anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Pahang. FOTO BERNAMA
Asrol Awang

Kuantan: Keprihatinan kerajaan negeri Pahang menjaga kebajikan terutama dalam menyalurkan bantuan membuktikan rakyat negeri itu tidak dipinggirkan.

Ia disandarkan dengan pelbagai bantuan disalurkan terutama memperkenalkan inisiatif baharu yang dinamakan Bantuan Prihatin Pahang (BPP).

BPP yang dilaksanakan bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021 bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri membelanjakan RM31.3 juta yang dilaksanakan melalui empat fasa khususnya kepada golongan sasar yang terkesan akibat daripada pandemik itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata tahun ini, kira-kira RM30 juta diperuntukkan untuk BPP yang memfokuskan empat kluster utama.

Katanya, empat kluster itu ialah Kluster Pelajar dan Anak Muda, Kluster B40, Kluster Umum dan Kluster Apresiasi yang memberi manfaat kepada hampir 300,000 orang penerima.

"Menariknya, bantuan disalurkan terus kepada rakyat, merentasi segenap generasi, daripada bayi yang baru lahir, pelajar, anak muda, pengantin baru sehinggalah kepada warga emas, tanpa mengira batas bangsa, agama mahupun ideologi politik," katanya.

Malah, beliau berkata, tahun depan, kerajaan negeri memperuntukkan RM42.4 juta bagi pelaksanaan BPP yang akan membabitkan 218,193 penerima.

Katanya, tahun lalu, ia dinamakan program inisiatif Kebanggaan Pahang atau Pahang Pride.

"Menerusi Pahang Pride ini, sebanyak tiga program sudah diperkenalkan iaitu Pahang Pride Kid, Pahang Pride Kasih dan Pahang Pride Student yang membabitkan peruntukan berjumlah RM20 juta yang memberi manfaat kepada 281,000 penerima.

"Malah, program Pahang Pride ini akan diteruskan lagi pada 2023 dengan penambahan tiga lagi inisiatif baharu seperti Pahang Pride Athlete, Pahang Pride Orang Asli dan Pahang Pride Achiever," katanya.

Sementara itu, pelaksanaan program Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diberikan secara percuma turut membantu rakyat memiliki rumah sendiri dan selesa.

Ia diberikan kepada rakyat yang dikategorikan sebagai miskin atau miskin tegar yang tersenarai dalam senarai dalam e-Kasih serta tidak memiliki rumah atau rumah yang didiami terlalu uzur untuk dibaik.

Bagi memastikan rakyat Pahang yang dikategorikan layak mendapat RRP, Kerajaan Pahang memperuntukkan RM30.75 juta bagi membina lapan unit di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) dan sebuah rumah di setiap Parlimen tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 2:47 PM