WAN Rosdy ketika membentangkan Belanjawan 2022, Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
WAN Rosdy ketika membentangkan Belanjawan 2022, Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Setiap bayi yang dilahirkan di Pahang mulai tahun depan akan menerima saguhati RM200 di bawah Program Anak Kebanggaan Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta bagi menjayakan program itu.

Katanya, pemberian RM200 untuk setiap kelahiran itu adalah untuk simpanan dan barangan penjagaan bayi dan ibu ketika berpantang.

"Berdasarkan data Jabatan Perangkaan pada 2020, kelahiran bayi Pahang adalah 25,279 orang setahun.

"Oleh itu, keseluruhan peruntukan untuk program ini adalah sebanyak RM5 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, prihatin dengan rintihan ibu bapa yang bimbang dengan perbelanjaan dalam persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu, kerajaan negeri akan memperkenalkan Kad Pelajar Kebanggaan Pahang.

Katanya, kad itu akan diberikan kepada semua Ketua Isi Rumah (KIR) dari kumpulan B40 (pendapatan isi rumah kurang dari RM4,850) dan M40 (pendapatan isi rumah di antara RM4,851 hingga RM10,970) yang mempunyai anak yang masih bersekolah.

"Pemegang kad ini akan menikmati diskaun sebanyak 20 peratus ke atas setiap perbelanjaan keperluan persekolahan, termasuk buku, pakaian dan beg sekolah serta alat tulis terpilih.

"Kad ini adalah inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama MBS Book & Stationeries yang akan memberi manfaat kepada 238,455 pelajar dari keluarga B40 dan M40 dalam negeri Pahang," katanya.

Beliau berkata, tambahan daripada itu, bagi meringankan lagi beban ibu bapa dalam kategori golongan miskin, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan tambah nilai sebanyak RM100 kepada setiap pelajar di bawah kategori keluarga miskin yang akan dikreditkan ke dalam kad diskaun Kebanggaan Pelajar Pahang.

"Selain menikmati potongan harga sebanyak 20 peratus, ibu bapa dalam kategori golongan miskin ini akan mendapat bantuan bagi membeli set bantuan persekolahan bernilai sebanyak RM100 yang akan lebih meringankan lagi beban mereka.

"Bagi maksud ini, kerajaan negeri bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM4.87 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 5:25 PM